
MUHYIDDIN Yassin menyatakan kerajaannya menggunakan wang pembayar cukai untuk membantu rakyat mengatasi kesulitan semasa pandemik Covid-19.
Beliau berkata, tiada wang masuk ke dalam poketnya.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian di Dewan Rakyat sambil menegur dakwaan Najib Razak bahawa beliau (Muhyiddin) membazir wang pembayar cukai semasa menjadi perdana menteri.
Pengerusi Bersatu dan Perikatan Nasional itu berkata, adalah tidak bertanggungjawab Najib (Pekan-BN) melemparkan tuduhan sedemikian terhadapnya.
“Pekan berkata Perikatan telah membazir wang kerana kami telah membelanjakan dana bernilai RM600 bilion semasa pandemik untuk pakej rangsangan ekonomi bagi membantu orang ramai dan perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Dakwaannya sangat tidak sensitif terhadap kesusahan yang dihadapi rakyat Malaysia dan komuniti perniagaan ketika pandemik,” katanya semasa perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Muhyiddin berkata, beliau hairan dengan dakwaan Najib bahawa beliau membazirkan dana bernilai ratusan bilion ringgit yang diberikan kepada rakyat dan perniagaan dalam masa sukar.
Beliau juga membidas Najib kerana kerugian wang rakyat semasa menjadi perdana menteri.
“Semasa beliau menjadi perdana menteri, berpuluh bilion wang rakyat hilang begitu sahaja. Bukankah itu membazir?”
Melanjutkan sindirannya terhadap Najib, Muhyiddin berkata, dana itu tidak masuk ke dalam akaun bank peribadinya.
“Peruntukan (dana) sebegitu besar tidak masuk ke akaun peribadi saya, tetapi untuk manfaat orang ramai yang terjejas akibat wabak itu.
“Pembelian vaksin, bantuan tunai terus ke akaun rakyat, pembukaan pusat kuarantin dan PPV - semuanya untuk rakyat. Di mana saya membazir (dana)?”
Minggu lalu, semasa perbahasan Najib mendakwa Muhyiddin tahu mengenai penyusutan rizab negara.
“Beliau (Pagoh) adalah menteri kanan dalam Pakatan Harapan. Kemudian beliau menjadi perdana menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional.
“Rizab sekarang adalah kurang berbanding sebelum pilihan raya umum ke-14.
“Beliau (Pagoh) berada dalam dua kerajaan yang menghabiskan rizab negara,” kata Najib. – 7 Mac, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen