
BEKAS perdana menteri Muhyiddin Yassin berkata beliau masih menunggu kerajaan memutuskan bila mahu membuka semula sempadan antarabangsa.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau masih belum menerima alasan mengapa langkah membuka sempadan masih ditangguhkan.
“Saya tidak nampak sebab mengapa keputusan untuk membuka sempadan perlu ditangguhkan lagi, sedangkan negara lain yang program vaksinasinya tidak sehebat negara kita sudah pun berbuat demikian,” katanya semasa perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu sebelum ini mencadangkan pembukaan penuh sempadan negara dilaksanakan mulai awal Mac.
Bagaimanapun katanya, ia perlu selaras dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan supaya industri pelancongan, perdagangan dan sektor ekonomi berkaitan dapat dihidupkan semula.
Minggu lalu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan membuka semula sempadannya sebelum Hari Raya Aidilfitri pada Mei dan memudahkan proses perjalanan, terutama bagi mereka yang menetap di luar negara.
Beliau berkata, varian Omicron menangguhkan rancangan negara untuk melangkah ke peringkat endemik, akhirnya turut melambatkan proses pembukaan sempadan.
“Kami hampir mengumumkan bahawa Malaysia sudah memasuki peringkat endemik, tetapi pada Disember 2021 varian Omicron, yang merupakan penyebar paling besar dikesan.
“Bagaimanapun, Omicron tidak seteruk Delta. Ia merebak dengan cepat tetapi tidak berbahaya seperti Delta,” katanya.
Muhyiddin berkata, hasil usaha yang dimulakan oleh kerajaan, kebanyakan sektor sudah membuka perniagaan mereka.
“Kejayaan program vaksinasi diikuti bantuan ekonomi dan kewangan serta pembukaan hampir semua sektor ekonomi di bawah Pelan Pemulihan Nasional membolehkan ekonomi berkembang dan pendapatan meningkat.
“Dari segi kesihatan, walaupun kes Covid-19 masih tinggi berikutan ancaman varian baharu termasuk Omicron, kami bersyukur kerana Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjaya memberi vaksin kepada lebih 90% penduduk negara dengan 60% sudah menerima dos penggalak.”
Jelasnya, beberapa petunjuk daripada data badan penyelidikan seperti Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menunjukkan proses pemulihan ekonomi semakin kukuh.
“Dari segi pelaburan, Malaysia berjaya menarik lebih RM220 bilion pelaburan yang diluluskan pada 2021 untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan.” – 7 Mac, 2022.
Komen