SEKTOR pertanian di Terengganu dianggarkan mengalami kerugian lebih RM10 juta susulan banjir baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Azman Ibrahim, berkata perusahaan sawah padi dan ikan air tawar merupakan antara sektor yang paling teruk terjejas akibat bencana alam itu.
“Nilai kerugian sebenar sedang dikenal pasti tetapi saya anggar kerugian melebihi RM10 juta.
“Saya sudah bentangkan data awal ini kepada majlis mesyuarat kerajaan negeri kerana tabung bencana pertanian hanya (sebelum ini diperuntukkan) RM1 juta bagi tempoh Januari hingga Disember 2022,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan bengkel dan persidangan perlindungan radiasi di Kuala Terengganu hari ini.
Dalam pada itu, Azman berkata sektor pertanian di Setiu, Besut dan Hulu Terengganu adalah antara daerah paling terjejas yang merosakkan ribuan hektar tanaman padi di Besut dan Setiu serta ternakan ikan air tawar di sepanjang Sungai Terengganu musnah 100%.
Terengganu dilanda banjir dari 25 Februari hingga 5 Mac dan bencana kali ini disifatkan paling teruk dalam lima episod gelombang monsun timur laut sejak 2 Disember 2021. – Bernama, 7 Mac, 2022.
Komen