VAKSIN Covid-19 buatan Malaysia dijangka siap pada 2024, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Ahmad Amzad Hashim hari ini.
“Kalau kita lihat tahap kajian yang dibuat (vaksin Covid-19) diharapkan 2024 kita ada calon vaksin Covid-19 yang pertama,” kata ahli Parlimen Kuala Terengganu itu di Parlimen hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Wong Kah Woh (Ipoh Timur-Pakatan) mengenai bila Malaysia akan mempunyai vaksin Covid-19 sendiri.
Ahmad berkata di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) terdapat dua jenis vaksin Covid-19 yang sedang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) memfokuskan kepada varian kebimbangan (VOC) di Malaysia iaitu vaksin tidak aktif dan vaksin teknologi mRNA.
Beliau berkata sekiranya konsep kedua-dua vaksin ini berjaya maka pelaksanaan vaksin ini perlu dilakukan di makmal yang mendapat akreditasi Amalan Makmal Baik (GLP) dan Amalan Pengilangan Baik (GMP).
Beliau berkata Mosti juga sedang meneliti dua projek vaksin Covid-19 menggunakan Dana Mosti Memerangi Covid-19 (MCCOF) iaitu pembangunan Platform Vaksin Mukosal Modular Menggunakan Bakteria yang Dianggap Secara Umum Sebagai Selamat (GRAS) Melawan Covid-19 dan Pembinaan Newcastle Rekombinan Virus Penyakit Mengekspresikan Protein Domain Pengikat Reseptor (RBD) Virus SARS-CoV-2 sebagai Calon Vaksin.
Beliau berkata kos bagi projek ini bernilai RM4.93 juta. – 7 Mac, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen