MENTERI Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata, ahli politik perlu serahkan kepada pihak tentera untuk membuat keputusan sama ada untuk mengerahkan pasukan dari Kem Lok Kawi di pantai barat Sabah ke Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) di Pantai Timur.
Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan pemimpin Parti Warisan Sabah Shafie Apdal bahawa kerajaan perlu menempatkan tentera bukannya anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk berdepan “kumpulan bersenjata” dari sempadan.
Katanya Shafie perlu lebih “praktikal” berhubung perkara itu, dan berkata kenyataan pemimpin pembangkang ke atas Rela itu adalah “bersifat politik”.
“Saya rasa kita perlu lebih praktikal. Kita (ahli politik) serahkan hal operasi kepada tentera untuk membuat keputusan. Siapa kita (ahli politik) untuk arahkan mereka (tentera)? Kita tidak terlatih.
“Apa yang kami (kerajaan) mahu pastikan adalah untuk tentera dan Kementerian Pertahanan mempunyai kepentingan terbaik terhadap isu keselamatan di Sabah.
“Bagaimana mereka (tentera) melakukannya, kita bukan pakar,” katanya ketika lawatan ke negeri itu hari ini.
Menurut Hishammuddin, Shafie yang juga ahli Parlimen Semporna tiada pilihan tetapi menggunakan Rela untuk menjaga keselamatan di Esszone, sambil menambahkan badan sukarela itu hanyalah satu lapisan sokongan kepada tentera dan mampu menghentikan kemungkinan serangan di Tanduo pada 2013 berulang.
Hishammuddin berkata agak menarik apabila ahli Parlimen Semporna itu begitu kritikal terhadap kerajaan sekarang kerana beliau dalam pembangkang namun tidak melakukan sebarang usaha untuk menyuarakan bantahannya terhadap rancangan Rela ketika dalam Umno.
“Saya rasa kita boleh latih mereka (anggota Rela). Saya bertemu dengan mereka. Mereka bangga menjadi mata dan telinga kita bila berdepan ancaman.
“Untuk menyaahkan dan mengkritik kerajaan memang mudah. Tetapi apa pilihan lain yang Shafie ada sekarang? Kita ada pasukan khas di sana…Rela hanya satu lapisan sokongan.
“Tetapi mengapa beliau tidak berkata apa-apa ketika dalam Umno. Beliau dengan kita (dalam Umno) agak lama,” katanya. – 9 Februari, 2018.
Komen