Perikatan harap faktor Abah di Johor


Chan Kok Leong

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin bertanya khabar kepada penduduk Kampung Melayu Majidee ketika berkempen pada pilihan raya Johor di Johor Bahru, baru-baru ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Mac, 2022.

TIDAK banyak isu yang dipersetujui bersama antara parti-parti bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kecuali harga ayam dan bagaimana sempadan yang ditutup membunuh banyak perniagaan di selatan negeri ini.

Ketika penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sama-sama menyifatkan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin pengkhianat kepada kedua-dua parti, Perikatan Nasional (PN) sebaliknya menganggap presiden Bersatu sebagai penyelamat dan wira.

Apa yang lebih menarik ialah bagaimana gabungan yang kurang akar umbi, jentera malah calon anak tempatan yang baik kelihatan mendapat tempat dalam kalangan pengundi Melayu bandar.

“Muhyiddin perdana menteri yang bagus,” kata pesara kerajaan Nasir Mohd di Medan Niaga Kg Melayu Majidee.

Nasir tidak peduli dengan tanggapan mengenai Muhyiddin yang terlibat menjatuhkan kerajaan PH di Putrajaya dan Johor, atau kritikan hebat mengenai darurat politik antara Januari hingga Ogos 2021.

Baginya, kerajaan Muhyiddin membantu rakyat yang terjejas akibat sekatan Covid-19 melalui bantuan tunai dan kebenaran mengeluarkan simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Saya mungkin sebelum ini pengundi BN tetapi saya sedia untuk beri peluang kepada Perikatan,” kata Nasir.

Dia ditemui di medan selera itu ketika Muhyiddin dan calon PN bagi kerusi Larkin Zulkifli Bujang duduk minum selepas menziarahi pengundi di kawasan itu.

Katanya, tempoh pentadbiran Muhyiddin yang pendek sebenarnya baik biarpun sekatan Covid-19 yang panjang, salah urus pandemik selepas PRN Sabah atau pertembungan Bersatu dan BN.

Nasir, 62, ada pandangan lain tentang “pengkhianatan” Bersatu.

“Saya rasa mereka ada alasan mereka sendiri.

“Saya cuma tak suka DAP sebab selalu cakap isu kaum. DAP ada wakil rakyat yang bagus tetapi mereka banyak cakap soal kaum,” katanya.

“Tidak akan undi Muda”

Pemilik kedai runcit Zul Hakim Ahmad juga mempunyai tanggapan yang sama tentang Muhyiddin sebagai perdana menteri.

“Beliau beri banyak bantuan untuk rakyat masa perintah kawalan pergerakan,” katanya, merujuk sekatan mengawal pencegahan Covid-19 sejak Mac 2020.

“Kalau tidak sebab itu, banyak orang termasuk saya menderita,” katanya, yang ditemui selepas melihat Muhyiddin dan rombongan meninggalkan medan niaga itu.

Seperti banyak rakyat Johor,  Zul Hakim yang bekerja di sebuah kilang di Pasir Gudang hilang pekerjaan tahun lepas. Tetapi katanya dia “bernasib baik” kerana “mewarisi” kedai runcit ayahnya.

“Tidak senang juga sebab cukup makan saja untuk buat modal pusingan tetapi adalah sesuatu juga,” kata anak muda berumur 26 tahun itu.

Ditanya tentang pilihan raya, Zul Hakim mengaku dia tidak pernah mengundi sebelum ini.

Pemilik kedai runcit Zul Hakim Ahmad turut mempunyai tanggapan yang sama tentang Muhyiddin sebagai perdana menteri. – 7 Mac, 2022.

“Saya diberitahu saya sudah berdaftar. Saya belum semak tempat mengundi saya di mana,” katanya.

Zul Hakim juga berkata dia belum tahu sama ada akan mengundi atau tidak.

“Kalau mengundi pun, saya tahu bukan Muda atau parti lain,” katanya.

Parti lain katanya tidak menarik seperti yang dipimpin Muhyiddin.

Zulkifli bersaing dengan calon PH, BN, Muda, Pejuang dan seorang calon bebas.

Kerusi Larkin dimenangi oleh PH pada 2018, yang ketika itu menurunkan calon dari Bersatu, dengan majoriti 8,590 undi.

Sebelum 2018, BN menang Larkin (yang sebelum itu dikenali sebagai Tanjung Puteri) tiga kali antara 2004 dan 2013. Larkin adalah antara kerusi majoriti Melayu di Johor selatan dengan jumlah pengundi 64% Melayu, 30% Cina dan 6% India.

Ia mempunyai 55,858 pengundi berdaftar pada 2018 tetapi kali ini bertambah lebih 76,000 orang susulan had umur layak mengundi yang dikurangkan kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi secara automatik.

“Tiada isu dengan Muhyiddin, PN”

Sementara itu, sama seperti Nasir, Burhanuddin Ahmad dan keluarganya sedang sarapan di medan niaga itu apabila Muhyiddin tiba.

Biarpun tidak meluru seperti orang lain menyambut bekas perdana menteri, Burhanuddin juga memuji Muhyiddin atas pelbagai bantuan kepada rakyat untuk menghadapi Covid-19.

“Saya tiada isu dengan Muhyiddin dan Perikatan,” katanya, ditanya tentang pertembungan antara presiden Bersatu dan bekas perdana menteri Najib Razak.

“Saya cuma tahu Muhyiddin ini bagus. Saya tak kenal siapa calonnya tetapi saya rasa mereka (PN) patut diberi peluang,” katanya, yang bekerja swasta.

Menariknya, Burhanuddin tidak perasan bahawa Bersatu adalah bahagian daripada PN, sehinggalah dia diberitahu.

Bersatu dan PN tidak mempunyai jentera yang kuat yang berkempen di akar umbi. Menurut bekas pemimpin Bersatu di Johor Bahru, kebanyakan cawangan parti itu bubar selepas Bersatu keluar PH pada Februari 2020.

Namun itu tidak jadi hal pada Muhyiddin, Bersatu atau PN kerana di Johor mereka berharap pada “Abah Prihatin”, slogan kempen mereka di pilihan raya negeri ini. “Abah” adalah gelaran Muhyiddin semasa jadi perdana menteri.

Kempen itu kelihatan mujarab dalam kalangan pengundi atas pagar. – 7 Mac, 2022.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen