Kenaikan harga minyak beri ruang kerajaan tambah subsidi bahan api, kata menteri


Mustapa Mohamed berkata, proses pemulihan ekonomi dijangka berlaku lebih cepat berikutan pembukaan semula sempadan negara tidak lama lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2022.

HARGA minyak mentah dunia yang melonjak akibat konflik Rusia-Ukraine memberi kelebihan kepada kerajaan untuk terus menyediakan subsidi bahan api, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.

Beliau bagaimanapun mengakui kenaikan harga minyak mentah dunia ketika ini akan turut memberi tempias kepada harga barangan lain khususnya yang diimport seperti gandum dan jagung.

Katanya, kerajaan akan terus memantau situasi itu yang sudah pasti memberi cabaran kepada pengurusan kewangan negara.

“(Kenaikan harga minyak) akan meningkatkan hasil tetapi sebahagian hasil itu perlu disalurkan ke tempat lain, perkiraan belum dibuat… ketika ini cuma bergantung kepada andaian.

“Sebahagian peningkatan itu pula akan digunakan untuk membayar tambahan subsidi petrol dan diesel,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pelancaran program transformasi gigital Pasar Besar Siti Khadijah di Kota Bharu hari ini.

Mustapa juga berkata, proses pemulihan ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dijangka berlaku lebih cepat berikutan pembukaan semula sempadan negara tidak lama lagi.

Beliau berkata, perkara itu pastinya amat dinanti-nantikan oleh semua pihak terutama sektor pelancongan yang amat terkesan sejak Covid-19 menyerang negara sehingga terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan pada pertengahan Mac 2020.

“Selagi sempadan antarabangsa tidak dibuka, agak sukar untuk ekonomi negara pulih sepenuhnya… jadi antara prasyarat pemulihan ekonomi adalah pembukaan semula sempadan negara,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan sempadan negara akan dibuka semula tidak lama lagi dan langkah itu membolehkan ahli Keluarga Malaysia yang sudah lama tidak bersua muka pulang terutama ketika Aidilfitri pada Mei nanti. – Bernama, 6 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen