SOLAT tarawih berjemaah masjid dan surau di Melaka pada Ramadan tahun ini dibenarkan namun ketetapan prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai akan dikeluarkan pekelilingnya seminggu sebelum kehadiran bulan itu.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Che Sukri Che Mat, berkata SOP solat tarawih di negeri itu masih dalam perbincangan dan ia akan mengambil kira situasi semasa dan ketetapannya akan diputuskan menerusi mesyuarat majlis kerajaan negeri (MMKN) akan datang.
“Ia masih kekal seperti SOP sedia ada sekarang yang membabitkan 185 masjid dan 170 surau seluruh negeri yang dibenarkan untuk mengadakan solat Jumaat.
“Namun apa yang kita tekankan adalah mengekalkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan mengimbas aplikasi MySejahtera,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program pascaperkahwinan cinta penghujung senja di Bukit Katil, Melaka hari ini.
Mengulas lanjut mengenai segala aktviti termasuk mengadakan jamuan di masjid dan surau sepanjang Ramadan, juga akan diputuskan dalam pekeliling itu selepas meneliti semua aspek.
Sementara itu katanya, solat berjemaah di masjid dan surau ketika ini turut kekal menggunakan SOP sedia ada, namun meminta jemaah yang dikesan kontak rapat kepada pesakit positif Covid-19 supaya tidak hadir untuk solat berjemaaah bagi mengelakkan tercetusnya kluster di masjid dan surau di negeri itu. – Bernama, 6 Mac, 2022.
Komen