Vaksin CoronaVac berkesan lindungi kanak-kanak, kata pakar


Kanak-kanak berumur 5-11 tahun yang tidak boleh menerima vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech atas sebab kesihatan akan ditawarkan vaksin CoronaVac keluaran Sinovac. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2022.

PENGGUNAAN vaksin CoronaVac keluaran Sinovac dilihat berkesan dalam melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti wabak Covid-19 sekali gus dapat mengurangkan kemasukan golongan itu ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU).

Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi Hospital Sungai Buloh Dr See Kwee Ching, berkata keberkesanan vaksin berkenaan yang mendapat kelulusan bersyarat pada mesyuarat pihak berkuasa kawalan dadah yang ke-370, 3 Mac lalu dibuktikan menerusi kajian dilakukan di Chile.

“Vaksin ini melalui kajian di Chile melibatkan 2 juta kanak-kanak berusia 6 hingga 16 tahun dengan keberkesanan terhadap mereka adalah utuh (daripada dijangkiti) dengan sekitar 75% manakala lebih 90% kurang kadar kemasukan ke hospital dan ICU.

“Bagi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun, keberkesanan juga sama, sekitar 75% dan 77% kurang kemasukan ke hospital dan ICU. Ini sekali gus melepasi ambang ditetapkan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) iaitu 50% untuk pencegahan jangkitan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali hari ini dilaporkan berkata, kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun yang tidak boleh menerima vaksin jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech atas sebab kesihatan akan ditawarkan vaksin CoronaVac keluaran Sinovac oleh petugas kesihatan.

Dr Noor Azmi berkata, vaksin itu akan mula ditawarkan mulai esok di pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih dan ibu bapa juga diberi pilihan untuk vaksin CoronaVac diberikan kepada anak mereka sekiranya tidak bersetuju dengan vaksin Comirnaty.

Vaksin itu menjadi vaksin kedua diluluskan penggunaannya untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

Mengulas lanjut, Dr See yang juga Ketua Jabatan Pediatrik di hospital berkenaan berkata, penggunaan vaksin CoronaVac bukanlah asing di negara ini memandangkan ia pernah digunakan pada program vaksinasi untuk golongan remaja dan dewasa.

“Dos yang akan digunakan adalah sekitar tiga mikrogram sama seperti dos untuk dewasa. Di China, kajian yang dijalankan menunjukkan dengan dos 1.5 mikrogram, ia tidak memberi keberkesanan yang utuh berbanding tiga mikrogram yang mencukupi untuk memberi perlindungan.

“Jadi tiada keperluan untuk dos diturunkan. Penggunaan vaksin ini juga akan meningkatkan kadar vaksinasi kanak-kanak di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr See berkata, kanak-kanak perlu divaksin memandangkan kumpulan itu perlu menjalani pembelajaran di sekolah malah tidak boleh berterusan mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kerana ia akan memberi kesan kepada mereka.

“Kanak-kanak perlu bersosial dan kalau dikurangkan waktu ke sekolah, ia tidak baik. Untuk membolehkan mereka ke sekolah dengan selamat, mereka perlu divaksin.

“Ini juga sebahagian daripada hala tuju negara untuk beralih ke fasa endemik secepat mungkin memandangkan kumpulan ini yang berjumlah 3.6 juta orang macam ‘kepingan susun suai gambar belum ditemui’, yang akan menjadi pelengkap ke arah itu,” katanya.

Setakat semalam, sebanyak 1,003,227 individu atau 28.3% populasi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun di Malaysia menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui program imunisasi Covid-19 kebangsaan bagi kanak-kanak (PICKids). – Bernama, 6 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen