POLIS Kelantan menerima lebih 1,000 laporan kerosakan rumah mangsa akibat bencana banjir yang berlaku sejak 25 Februari lalu.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Muhammad Zaki Harun, berkata berdasarkan laporan yang diterima, Kampung Tersang di Rantau Panjang, dekat Pasir Mas adalah kawasan yang paling terjejas akibat bencana itu.
“Jumlah laporan berkemungkinan akan bertambah susulan keadaan banjir semakin reda dan kebanyakan mangsa sudah pulang ke rumah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program pasca banjir di balai polis Rantau Panjang hari ini.
Seramai 150 orang daripada pelbagai agensi seperti Batalion 8 Pasukan Gerakan Am, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan penduduk kampung menyertai program pasca banjir itu. – Bernama, 6 Mac, 2022.
Komen