Kerajaan perlu selesai 6 isu utama sebelum PRN Johor, kata Guan Eng 


Ravin Palanisamy

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengetengahkan enam isu utama yang perlu ditangani oleh kerajaan persekutuan terlebih dahulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2022.

KERAJAAN persekutuan perlu menangani beberapa isu berpaksikan rakyat yang gagal mereka lakukan sejak mengambil alih, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini.

Beliau berkata orang ramai sudah bosan dengan apa yang dikatakan kestabilan politik seperti yang digembar-gemburkan oleh Barisan Nasional (BN) dan mengetengahkan enam isu utama yang perlu ditangani terlebih dahulu.

“Pertama, inflasi dan kenaikan harga makanan, komoditi asas, bahan dan kos perniagaan yang hanya akan diburukkan lagi oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dengan harga minyak meningkat kepada lebih daripada AS$115 setong.

“Bagi mengawal kenaikan harga, DAP telah mencadangkan Dana Penstabilan Harga dengan dana benih permulaan sebanyak RM3 bilion yang diperolehi daripada Cukai Makmur atau cukai durian runtuh yang diperkenalkan tahun ini. Malangnya, baik BN mahupun PN tidak memberi sebarang tindak balas terhadap solusi yang dicadangkan ini,” kata ahli Parlimen Bagan.

Seterusnya, Lim berkata kerajaan mesti memansuhkan cukai yang dikenakan tahun ini ke atas syarikat yang membawa balik wang daripada keuntungan yang diperoleh di Singapura dan negara luar.

Beliau berkata ia hanya menunggu masa sebelum cukai serupa dikenakan ke atas individu yang membawa balik gaji atau pendapatan mereka dari Singapura.

“Tidak mungkin satu negara mempunyai dua sistem berbeza, di mana cukai dikenakan kepada syarikat tetapi bukan individu. Pengundi bimbang pekerja Malaysia di Singapura akan dikenakan cukai selepas Pilihan Raya Umum ke-15 apabila membawa pulang pendapatan mereka ke Johor,” kata bekas menteri kewangan itu.

Selain itu, beliau turutq menggesa kerajaan membenarkan orang ramai mengeluarkan KWSP mereka, dan mendakwa masih ramai yang tidak dapat menampung perbelanjaan.

Beliau berkata kerajaan perlu membenarkan pengeluaran sekurang-kurangnya RM5,000 jika tidak membenarkan RM10,000.

Keempat, beliau menggesa kerajaan menangguhkan kenaikan tarif elektrik untuk pengguna komersial.

“Tangguhkan kenaikan tarif elektrik sehingga 20% untuk 1.6 juta pengguna perniagaan dan industri mulai Februari untuk membantu perniagaan pulih daripada pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.”

Beliau juga berkata kerajaan mesti membuka semula sempadan dengan segera, terutama dengan Singapura.

Katanya ini bagi membolehkan pemulihan segera ekonomi demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian apabila begitu banyak perniagaan di Johor bergantung kepada Singapura.

Yang terakhir, beliau meminta kerajaan menarik balik cadangan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang akan diluluskan di Parlimen selepas hari pengundian pada 12 Mac ini.

“Ini bagi mengelakkan kenaikan kompaun denda individu daripada RM1,000 kepada RM10,000 dan bagi syarikat kepada RM1 juta, dan apabila disabit kesalahan di mahkamah, penalti akan dinaikkan kepada RM100,000 denda untuk individu dan RM2 juta untuk syarikat,” katanya.

Lim berkata kerajaan harus bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan mereka menguruskan pandemik Covid-19 dan tidak menyalahkan rakyat dengan menaikkan penalti dan denda kompaun. – 6 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen