JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) bersedia untuk pembukaan semula sempadan negara terutama dalam menerima kemasukan pelancong asing, kata Ketua Pengarahnya Khairul Dzaimee Daud.
Beliau berkata, antara pintu masuk antarabangsa utama untuk tujuan itu adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Bangunan Sultan Iskandar di Johor.
“Pada 5 Mac (semalam), semua autogate (sistem laluan automatik) sudah diaktifkan semula dan pegawai di pintu masuk antarabangsa yang sebelum ini dihantar ke depot sementara yang dibuka sepanjang tempoh pandemik, dipanggil semula,” katanya kepada pemberita semasa operasi besar-besaran bersama JIM Johor di Johor Bahru, lewat malam semalam.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan pelancong asing memasuki negara dan akan mengetatkan kawalan kemasukan menggunakan pas lawatan sosial, bagi memastikan tidak berlaku salah guna serta masalah tinggal lebih tempoh.
“Mereka (pelancong) harus mengemukakan bukti bahawa mereka mempunyai tempat tinggal di Malaysia, wang sara diri yang mencukupi dan hanya untuk melancong dengan mempunyai jadual perjalanan,” katanya.
Operasi malam semalam membabitkan anggota dari Ibu Pejabat dan JIM Johor, yang membuat serbuan ke atas tiga premis di sekitar Johor Bahru.
Dalam serbuan yang dijalankan ke atas sebuah kilang di Taman Perindustrian Senai, 185 orang pekerja asing diperiksa dan 64 warganegara India yang didaftarkan dalam program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) ditahan, kerana bekerja dalam sektor yang tidak dibenarkan.
“Dasar kerajaan adalah tidak membenarkan warganegara India bekerja di kilang dan mereka hanya boleh bekerja di sektor tertentu. Siasatan awal mendapati, semua pekerja India yang ditahan didaftarkan dalam program RTK pada April lalu dan disyaki kilang terbabit menggunakan perkhidmatan ejen untuk mendaftarkan pekerja berkenaan,” katanya.
Menurutnya, seramai 16 pekerja dari Nepal, Myanmar (tiga) dan Bangladesh (dua) turut ditahan, kerana tidak mempunyai dokumen sah.
Selain itu, beliau memaklumkan dalam operasi yang sama, 14 warganegara Thailand serta masing-masing seorang dari Laos dan Myanmar turut ditahan, hasil serbuan ke atas dua pusat spa yang menawarkan khidmat pelacuran.
Katanya, semua tahanan dibawa ke lokap JIM dan majikan terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63. – Bernama, 6 Mac, 2022.
Komen