Ketepatan ujian Covid-19 bergantung kepada tempoh jangkitan, kata Dr Noor Hisham


Ravin Palanisamy

RTK-Ag yang dijual untuk orang awam membolehkan pengesanan dilakukan dengan lebih murah, pantas dan mudah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2022.

KETEPATAN pengesan Covid-19 menggunakan pelbagai jenis kaedah ujian bergantung kepada tempoh jangkitan sewaktu sample diambil, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Jelasnya lagi, ujian RTK-Antigen (RTK-AG) boleh mengesan jumlah virus dalam pesakit dijangkiti antara tiga hingga tujuh hari, sementara ujian reverse transcription-polymerase chain reaction (RT-PCR) pula boleh mengesan jangkitan seawal hari kedua.

“Justeru itu, ketepatan ujian RTK-Ag dan RT-PCR adalah bergantung kepada tempoh jangkitan sewaktu sampel diambil,” katanya.

Penjelasan itu dikeluarkan selepas timbul aduan awam yang mendakwa menerima keputusan berbeza menggunakan jenama kit saringan kendiri yang berbeza.

Dr Noor Hisham berkata ujian RTK-Ag disyorkan untuk individu yang bergejala atau individu berisiko tinggi yang tidak bergejala.

Katanya juga, kit ujian kendiri RTK-Ag yang diluluskan kerajaan perlu mempunyai sekurang-kurangnya 95% tahap sensitiviti, dengan hanya 5% kemungkinan hasil keputusan negatif palsu.

 “KKM telah meluluskan penggunaan RTK-Ag sebagai satu kaedah alternatif pengujian Covid-19 selain RT-PCR.

“RTK-Ag membantu memudahkan proses pengesanan dan pengawalan jangkitan Covid-19 kerana kaedah ini adalah ringkas, mudah, murah dan boleh dilakukan di lapangan atau point-of-care testing (POCT).  

“Proses pengujian RTK-Ag adalah pantas dan keputusan ujian boleh diperolehi dalam masa 20 hingga 30 minit,” katanya dalam kenyataan hari ini.  

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata ujian RT-PCR kekal sebagai “gold standard” bagi mengesan jangkitan Covid-19.

Katanya, RT-PCR berupaya mengesan kehadiran asid nukleik virus yang lebih spesifik dan mempunyai tahap sensitiviti sehingga 99.9%.

“Namun begitu, ujian ini memerlukan proses dan peralatan makmal yang lebih canggih, kos yang lebih tinggi, tenaga kerja terlatih, dan masa pengujian yang lebih lama iaitu memakan masa antara 6 hingga 24 jam (tidak termasuk masa untuk pengangkutan ke makmal),” katanya lagi.

Dr Noor Hisham turut menggesa semua orang melaporkan hasil keputusan saringan kendiri RTK-Ag menerusi MySejahtera dan mengemaskini status kesihatan terkini mereka.

Beliau turut menekankan peri pentingnya individu yang diuji positif untuk terus mematuhi tempoh kuarantin ditetapkan dalam prosedur operasi standard terkini.

Jelasnya, pelaporan kendiri keputusan ujian akan membantu KKM mendapatkan gambaran lebih jelas tentang jangkitan dalam komuniti. – 6 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen