KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) dicadangkan untuk menggubal dasar baharu berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya KPT dan agensi berkaitan perlu menjenamakan semula pendidikan tersebut bagi menghapuskan persepsi ibu bapa terhadap TVET sebagai pendidikan kelas kedua atau tidak relevan.
“Ramai ibu bapa mempunyai persepsi negatif terhadap TVET ini dan menganggap pendidikan ini seolah-olah kelas kedua atau tertumpu kepada pelajar tercicir.
“Namun, kalau dibandingkan kepada negara luar seperti Jerman dan Perancis, pendidikan tersebut dijadikan pilihan utama,” katanya semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Kolej Komuniti@Pontian, di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan, di Pontian hari ini.
Menjelaskan mengenai cadangan menggubal dasar baharu TVET, perdana menteri berkata golongan pelajar seharusnya diberi pilihan untuk memilih subjek dalam bidang tersebut di peringkat lebih awal.
“Di negara maju yang lain, pendidikan TVET dimulakan di awal pendidikan namun berbeza di negara ini, TVET diajar kepada pelajar selepas Tingkatan Tiga, iaitu bermula dengan Tingkatan 4 ke atas barulah pelajar dapat membuat pilihan.
“Jadi, kita (kerajaan) mencadangkan untuk KPT menggubal satu dasar baharu tentang TVET, supaya pelajar-pelajar dapat membuat pilihan subjek yang mereka ingin ceburi daripada Tingkatan Satu,” katanya.
Mengenai peluang pemegang sijil TVET ke peringkat universiti, Ismail Sabri berkata perkara itu telahpun diperluaskan berbanding dahulu, apabila sijil pendidikan itu tidak boleh digunakan untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.
“…tetapi pada hari ini sudah ada beberapa universiti di negara ini telahpun menerima sijil vokasional dan sijil latihan TVET ini, untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat universiti.
“Jadi, kepada ibu bapa jangan mempunyai perasaan rendah diri apabila anak-anak belajar di sekolah-sekolah vokasional dan TVET, kerana ‘tagline’ kita adalah ‘TVET menjadi pilihan pertama untuk kerjaya’,” katanya. – Bernama, 6 Mac, 2022.
Komen