PERDANA menteri Israel cuba menjadi orang tengah pada Sabtu ketika pencerobohan Rusia ke atas Ukraine semakin hebat, mengadakan pertemuan tiga jam di Kremlin dengan Vladimir Putin sebelum menghubungi presiden Ukraine dan terbang ke Berlin.
Pertemuan Perdana Menteri Naftali Bennett dengan Putin adalah yang pertama oleh pemimpin asing sejak hari tentera Rusia menyerang Ukraine minggu lalu, berlaku selepas Kyiv meminta Israel melancarkan dialog dengan Moscow.
Bennett setakat ini telah mengambil langkah berhati-hati dalam konflik Ukraine, berusaha untuk mengekalkan kerjasama keselamatan yang halus dengan Rusia, yang mempunyai kehadiran tentera yang besar di jiran utara Israel, Syria.
Bennett tidak menyertai pemimpin Barat - terutamanya sekutu utama Amerika Syarikat (AS) - dalam mengutuk keras pencerobohan itu, sebaliknya menekankan hubungan kuat Israel dengan Rusia dan Ukraine.
Menjelang lawatannya ke Moscow, Bennett telah bercakap melalui telefon berulang kali dengan Putin dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky.
“Tindakan Bennett berani tetapi berisiko. Banyak yang akan bergantung kepada Putin,” kata Michael Oren, bekas duta Israel ke Washington, kepada AFP.
Oren menyatakan sementara Putin menolak jangkauan diplomatik kelas berat sebelum pencerobohan, “Rusia berada dalam kedudukan yang berbeza hari ini dan Putin mungkin sedang mencari jalan keluar dari kesulitannya. Naftali Bennet hanya boleh bantu berikan tangga.”
Bennett dan Putin bertemu selama tiga jam, dalam lawatan yang diselaraskan dengan AS, Jerman dan Perancis, kata seorang pegawai Israel.
Delegasi Bennett termasuk menteri perumahannya, penterjemah Rusia yang fasih Zeev Elkin, yang dilahirkan di Ukraine ketika menjadi sebahagian daripada Kesatuan Soviet.
Kremlin berkata “aspek berbeza situasi di Ukraine” telah dibincangkan pada mesyuarat itu.
Selepas perbincangan bersama Putin, Bennett menelefon Zelensky, yang berbangsa Yahudi dan mempunyai keluarga di Israel serta telah melawat negara itu berkali-kali.
Bennett kemudiannya menuju ke Jerman untuk berbincang dengan Canselor Olaf Scholz. – AFP, 6 Mac, 2022.
Komen