SELEPAS bertahun-tahun aktif terlibat berhujah di mahkamah dan media mengenai dasar kerajaan, peguam Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir kini memilih untuk terlibat secara langsung terjun ke dunia politik untuk terlibat sama menggubal dasar.
Nizam, 48, antara calon muda dan profesional yang ditampilkan oleh Pejuang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Nizam yang bertanding di kerusi Rengit mengaku mahu terlibat secara langsung dalam proses pembentukan dasar dan polisi kerajaan daripada peringkat awal.
“Ringkas kata, kalau ini semua dilihat sebagai suatu permainan bola sepak, saya kini ingin menjadi seorang pemain bola dan bukan lagi sekadar seorang penonton,” katanya, dalam wawancara kepada The Malaysian Insight.
Nizam lulusan undang-undang dari sebuah universiti di Australia dan mula menjadi peguam pada 1998. Beliau juga memperoleh diploma amalan guaman syariah di Universiti Islam Antarabangsa dan berkhidmat sebagai peguam syarie.
Lebih 15 tahun lalu, Nizam aktif terlibat dengan badan peguam di negeri dan Majlis Peguam terutamanya dalam hal ehwal melibatkan hak asasi manusia, perlembagaan dan bantuan guaman.
Selain terlibat dalam beberapa kes mengenai perlembagaan yang menjadi perhatian umum, Nizam juga sering dicari oleh media untuk mendapatkan ulasan dan pandangan mengenai isu-isu perundangan dan hak asasi.
Beliau terlibat dalam kes pertikaian mengenai status nama bapa bagi anak tidak sah taraf beragama Islam, yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada Februari 2020.
Nizam juga mewakili pihak berkuasa agama Wilayah Persekutuan dalam kes pertukaran agama dua kanak-kanak Buddha kepada Islam secara sepihak.
“Selama ini, melalui komen-komen saya di Twitter dan media massa, saya telah berusaha untuk mengambil bahagian dalam dialog tentang apa yang sepatutnya dibuat oleh pentadbir-pentadbir di negara kita berkenaan mana-mana polisi yang diperkenalkan oleh mereka atau apa-apa keputusan yang dibuat oleh mereka.
“Namun apa-apa sumbangan saya kepada persada politik negara dalam konteks tersebut, hanya memiliki kesan setelah sesuatu keputusan dibuat.
“Jadi bagi saya, mungkin ia lebih sesuai untuk turun ke gelanggang dan membentuk polisi atau keputusan yang bakal dibuat di tahap lebih awal,” kata Nizam.
Bapa kepada tujuh cahaya mata itu berkata, kerjayanya sebagai peguam adalah kelebihan kepada dirinya dalam PRN Johor kali ini memandangkan undang-undang merupakan asas bagi pentadbiran di kawasan DUN.
“Saya yakin pengalaman saya sebagai seorang pengamal dan komentator undang-undang merupakan suatu kelebihan untuk saya dilantik sebagai wakil rakyat DUN ini.
“Insha Allah, ini menjadi kenyataan di Rengit,” katanya.
Nizam adalah antara muka baharu dan golongan profesional yang dicalonkan Pejuang daripada 42 kerusi DUN yang ditandingi mereka.
Dalam PRN Johor kali ini, 54% daripada calon Pejuang terdiri daripada mereka yang berusia 50 tahun dengan 10 calon adalah golongan profesional muda.
Bukan laluan mudah untuk Pejuang
Rengit yang terletak kira-kira 38km daripada bandar Batu Pahat merupakan syurga buat penggemar barangan terpakai seperti perabot dan perkakas elektrik yang kebanyakannya dijual komuniti Orang Asli yang tinggal berhampiran kawasan tersebut.
Sekitar 82% pengundi di Rengit adalah Melayu manakala baki sekitar 17% adalah pengundi Cina, menjadikan kawasan itu merupakan kubu kuat BN.
Bekas Adun BN Ayub Jamil juga mampu bertahan selama empat penggal di kerusi DUN berkenaan. Beliau bagaimanapun digugurkan dalam PRN Johor kali ini.
Disebabkan itu, DUN Rengit tidak menjanjikan laluan mudah buat Pejuang dan Nizam, memandangkan beliau akan menentang wakil rakyat berpengalaman daripada BN dan PH.
Nizam berhadapan calon BN Ahmad Puad Zarkashi, yang merupakan Ketua Umno Bahagian dan juga bekas ahli Parlimen Batu Pahat, dan dikatakan pertandingan kali ini adalah cubaan Puad untuk bangkit semula selepas tewas pada pilihan raya umum ke-13 sebelum ini.
Selain itu, Nizam juga akan ditentang bekas penyandang DUN Senggarang Khairuddin A Rahim daripada Pakatan Harapan (PH). Khairuddin adalah wakil rakyat Amanah yang melompat ke PKR sebelum dipindahkan ke Rengit.
Perikatan Nasional (PN) pula meletakkan calon Mohd Huzair Lajis.
“Jangkaan saya adalah siapa-siapa yang bakal menang menawarkan apa yang merupakan aspirasi sebenar bagi warga Rengit, semoga Pejuang merupakan parti tersebut dan saya akan berusaha untuk meyakinkan warga Rengit bahawa manifesto Pejuang ‘Aspirasi Johor’ menawarkan apa yang terbaik untuk warga Rengit.
“Dari segi demografi, masyarakat Melayu merupakan suatu majoriti yang besar di Rengit, ia juga dianggap kubu kuat suatu parti di mana ia telah mewakili DUN ini sejak 2004.
“Jadi sesuai untuk Pejuang bertanding di sini dan memaklumkan warga Rengit untuk bangkit dan beri peluang kepada parti lain untuk menunjukkan ia boleh menambah baik apa yang mampu ditawarkan oleh Rengit,” kata Nizam lagi.
Tambahnya lagi, kawasan Batu Pahat juga tidak asing bagi dirinya kerana karier sebagai peguam bermula di daerah itu, sekitar dua dekad dahulu.
“Mungkin ada yang tidak tahu tetapi kerjaya saya sebagai seorang peguam mula di Batu Pahat, jadi bagi saya bila saya dijemput kembali ke Batu Pahat ia seperti sirih pulang ke gagang,” kata Nizam.
Nizam juga berkata, beliau memilih platform Pejuang kerana tunjang utama parti Melayu yang diasaskan Pengerusi Dr Mahathir Mohamad adalah menolak budaya rasuah, yang selari dengan pendiriannya.
“Dasar utamanya adalah untuk menolak rasuah, seperti mana yang terkandung secara jelas di dalam perlembagaan pertubuhannya, cogan kata ‘kekal berprinsip’ sesuai dengan pegangan peribadi saya.
“Kalau kita tidak menolak rasuah dan tidak berpegang kepada prinsip, maka dunia yang kita akan tinggalkan untuk generasi akan datang akan lebih cenderung kepada kemungkaran dan ketidakadilan,” katanya. – 6 Mac, 2022.
Komen