JOHOR adalah negeri yang paling terkesan susulan langkah kerajaan menutup sempadannya, menjejaskan kelangsungan hidup penduduk rakyat negeri itu yang berulang-alik bekerja di republik jiran itu sebelum ini.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin berkata, kira-kira 300,000 penduduk Johor yang berulang-alik ke Singapura hilang punca pendapatan kerana langkah penutupan sempadan.
“Saya tidak tahu apa terjadi dengan mereka sekarang. Adakah mereka berhadapan cabaran besar untuk meneruskan hidup dan meletakkan makanan ke atas meja mereka.
“Ini satu masalah yang perlu kita tangani,” kata bekas perdana menteri itu pada majlis sesi dialog menteri ekonomi bersama Pengerusi MPN di Johor Bahru, hari ini.
Menurut Muhyiddin lagi, pembukaan sempadan akan membawa kemasukan lebih 28 juta pelancong asing ke negara ini dan membolehkan negara meraih lebih RM80 bilion pendapatan dari sektor berdaya maju itu.
Terdahulu, MPN mencadangkan sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac tanpa keperluan kuarantin wajib.
Namun, Kementerian Kesihatan dilaporkan masih dalam proses akhir untuk memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan sempadan negara sebelum mendapat persetujuan Kabinet. – Bernama, 5 Mac, 2022.
Komen