BN menang di Johor politik stabil, tarik pelabur, kata Saravanan


Timbalan Presiden MIC M Saravanan yakin jika BN menang pada PRN Johor, pelabur asing akan datang untuk menanam modal di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2022.

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini akan memastikan kestabilan politik sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur untuk datang ke Johor dan Malaysia, kata Timbalan Presiden MIC M Saravanan.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, rakyat negeri selatan tanah air itu perlu sedar kestabilan politik amat penting dalam usaha menarik pelabur untuk menanam modal di negeri itu.

“Di Johor rakyat sedar mengenai perlunya kestabilan politik. Selama 63 tahun BN memerintah, walaupun kita ada isu tidak bersetuju tetapi semua diselesaikan dalam bilik bukan luar bilik, macam mana ada kekurangan pun, kami sentiasa bersama dengan sikap toleransi yang tinggi, sikap penerimaan yang tinggi.

“Jika kami (BN) berjaya di Pilihan Raya Negeri Johor, ekonomi akan pulih, yang mana kita lihat dalam tempoh setahun lebih, tiada kestabilan politik dan pelaburan asing didapati berkurangan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri karnival kerjaya jamin kerja Keluarga Malaysia 2022 di Mersing hari ini.

Karnival yang dianjurkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu dirasmikan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Saravanan juga berharap karnival itu dapat menangani isu pengangguran dengan lebih berstruktur dan menyeluruh dalam menyediakan peluang pekerjaan secara langsung kepada orang ramai.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRN Johor pada 12 Mac ini. – Bernama, 5 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen