Isytihar 12 Mac cuti umum di Johor, kata wakil rakyat DAP


Ravin Palanisamy

Kerajaan negeri Johor perlu isytihar hari mengundi PRN Johor pada 12 Mac ini sebagai cuti umum, kata Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2022.

KERAJAAN negeri Johor sepatutnya mengisytiharkan hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini sebagai cuti umum, kata Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.

Walaupun mengundi diadakan pada hujung minggu, wakil rakyat DAP itu berkata kerajaan sepatutnya isytihar cuti umum lebih awal bagi memastikan jumlah pengundi yang keluar mengundi lebih ramai.

“Ia mesti memastikan sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya mendapatkan 70% pengundi keluar mengundi, tercapai.

“Kerajaan negeri juga perlu respons kepada jumlah pendaftaran undi pos yang rendah iaitu 7,824 membabitkan rakyat Malaysia di luar negeri.

“Kerajaan negeri perlu menjawab kepada kegagalan mendaftar sebagai pengundi pos, dan menggandakan usaha untuk memastikan pengundi dapat mengundi pada hari berkenaan,” kata bekas timbalan menteri pendidikan itu.

Teo berkata sebelum ini ada beberapa hari mengundi pilihan raya diisytiharkan sebagai cuti umum.

“PRN Melaka ke-15 dan Pilihan Raya Umum ke-14, kedua-duanya diisytiharkan sebagai cuti umum.

“Ia tertakluk kepada Akta Cuti 1951,” katanya.

Beliau berkata tindakan itu menyaksikan 65.85% dan 82.32% pengundi keluar mengundi bagi kedua-dua pilihan raya itu.

“Bila hari itu jadi hari cuti umum, ia akan memberi sokongan moral dan semangat untuk rakyat Malaysia biasa pulang ke kampung dan melaksanakan tanggungjawab untuk mengundi,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri perlu bertindak segera supaya pengundi boleh mengatur perjalanan mereka, terutama bagi pengundi yang tinggal di luar Johor. – 5 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen