Hanya 0.6% kes semalam kategori kritikal, kata Dr Noor Hisham 


Ravin Palanisamy

1,997 pesakit Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam dan 1,522 orang pula dibenarkan pulang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2022.

SEJUMLAH 32,952 (99.39%) daripada 33,209 kes baharu Covid-19 semalam adalah kategori 1 dan 2, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Hanya 203 (0.61%) kes semalam adalah kes kritikal kategori 3,4 dan 5.

Pecahan kes mengikut kategori adalah seperti berikut:  

Kategori 1: 12,935 kes (38.95%)

Kategori 2: 20,071 kes (60.44%)

Kategori 3: 98 kes (0.30%)

Kategori 4: 52 kes (0.15%)

Kategori 5: 53 kes (0.16%)

Dengan jumlah kes baharu melebihi kes pulih semalam yang berjumlah 26,352, kes aktif negara kini naik kepada 305,010 kes.

Menurut laman web CovidNow, daripada jumlah kes aktif itu, 292,696 (96%) sedang menjalani kuarantin di rumah, 3,442 (1.1%) berada di pusat kuarantin dan 8,524 (2.8%) kes pula sedang dirawat di hospital.

Kata Dr Noor Hisham lagi, 1,997 pesakit Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam dan 1,522 orang pula dibenarkan pulang.

Daripada jumlah kemasukan ke hospital itu, 233 adalah pesakit Kategori 1, Kategori 2 (1,043), Kategori 3 (234), Kategori 4 (430) dan Kategori 5 (57).

Perak merekodkan jumlah kemasukan ke hospital tertinggi sebanyak 251 pesakit, diikuti Johor dengan 220 kes.

Walaupun Selangor melaporkan kes baharu tertinggi, negeri itu hanya merekodkan kes kemasukan ke hospital sebanyak 214 pesakit.

Negeri lain yang melaporkan kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital adalah Pulau Pinang (181), Kelantan (172), Pahang (150), Sabah (139), Kuala Lumpur (145), Kedah (138), Negeri Sembilan (109), Terengganu (97), Sarawak (64), Melaka (48), Perlis (31), Putrajaya (26) dan Labuan (12). 

Bagi penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) berkaitan Covid-19 pula, Dr Noor Hisham berkata tujuh negeri atau wilayah sudah mencecah tahap 50%.

Putrajaya sudah memaksimumkan penggunaan katil ICU dengan kadar 100%, wilayah itu mempunyai enam katil di ICU untuk pesakit Covid-19.

Selepas Putrajaya, 73% kadar penggunaan katil ICU direkodkan di Perlis, Selangor (61%), Kuala Lumpur (58%), Johor (57%), Perak (51%) dan Kelantan (50%).

Menyentuh jumlah katil dikhaskan untuk kes Covid-19, Dr Noor Hisham berkata 12,559 katil disediakan di seluruh negara untuk kes bukan kritikal, 8,530 (68%) sedang digunakan.

Di dalam ICU pula, daripada 879 katil di seluruh negara, 348 (40%) sedang digunakan, semantara daripada 11,329 katil di pusat kuarantin risiko rendah, 3,442 (30%) sedang digunakan. – 5 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen