Tugas sukar Muda di kerusi 'boleh menang' Puteri Wangsa


Chan Kok Leong

Bilik gerakan utama Muda bagi kerusi Puteri Wangsa giat berkempen untuk calonnya Amira Aisya Abd Aziz. – Gambar The Malaysian Insight oleh Chan Kok Leong, 5 Mac, 2022.

SECARA kasar, Puteri Wangsa sepatutnya mudah dimenangi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas ia dimenangi pembangkang pada 2018.

Secara realistiknya juga, ia satu-satunya kerusi yang boleh dimenangi parti berasaskan pemuda itu daripada tujuh yang ditandinginya pada PRN 12 Mac ini.

Namun calon dari parti lain juga mempunyai tarikan bagi pengundi yang berfikiran pembangkang di sana.

Pada pilihan raya 2018, Pakatan Harapan (PH) merampas kerusi majoriti 50% Cina daripada Barisan Nasional (BN) dengan 24,959 undi walaupun meletakkan Mazlan Bujang daripada Bersatu yang baru ditubuhkan.

Mazlan, yang sudah keluar daripada Bersatu, tidak mempertahankan kerusi itu dan Amira Aisya Abd Aziz yang berusia 27 tahun akan mewakili pembangkang dalam pertandingan enam penjuru pada pemilihan 12 Mac.

Jika sentimen dari 2018 masih kekal, dia adalah pilihan untuk menang walaupun Muda juga parti baharu.

Lima calon lain adalah daripada BN, Perikatan Nasional (PN), Pejuang, Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan seorang calon bebas.

Ancaman utama Amira hadir daripada Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong dari PBM yang memutuskan untuk bertanding di kerusi DUN itu.

Satu lagi ketidaktentuan bagi Amira adalah 46,358 pemilih yang baru berdaftar di bawah program Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik bulan lalu.

Puteri Wangsa adalah satu daripada dua kerusi DUN di bawah kawasan Parlimen Tebrau dan ramai pengundi memberitahu The Malaysian Insight bahawa Choong menjadi ahli Parlimen yang aktif di kawasan itu.

Pemilik Warung Azhar Addie Azhar berkata, Choong sentiasa membantu peniaga kecil sepertinya.

“Beliau melakukan kerjanya di sini dan bertindak lebih baik daripada Mazlan,” kata Addie semasa rehat makan tengah hari pada Selasa.

Namun warga Johor berusia 47 tahun itu berkata, Choong kehilangan sedikit populariti sekarang kerana beliau meninggalkan PKR.

Walaupun Choong tidak mengikut pembelot PKR lain ke Bersatu, beliau tetap menyokong presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Muhyiddin dan kumpulan pemimpin PKR yang diketuai bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali mendalangi langkah yang menyebabkan kejatuhan kerajaan PH di Putrajaya dan kemudian di kerajaan negeri Johor, Kedah, Perak dan Melaka. – 5 Mac, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen