Johor kenal pasti tapak perumahan generasi kedua Felda, kata MB


Menteri Besar Johor Hasni Mohammad berkata, antara impian BN adalah menyediakan 3,200 lot tanah untuk generasi kedua Felda membina kediaman mereka. – Gambar Facebook Hasni Mohammad, 4 Mac, 2022.

KERAJAAN negeri Johor mengenal pasti tapak yang bersesuaian untuk membina kediaman bagi generasi kedua Felda.

Menteri Besar Hasni Mohammad berkata ia akan dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPNJ) di lokasi yang mempunyai kemudahan infrastruktur lengkap dan membangun.

“Generasi kedua Felda amat memerlukan perumahan dan antara impian Barisan Nasional (BN) adalah untuk menyediakan 3,200 lot tanah untuk mereka membina kediaman kerana Felda kedua terbesar di negara ini adalah di Johor.

“Saya telah kenal pasti tapak… kita tidak mahu membina perumahan di lokasi yang serba kekurangan, maka lot ini disediakan berserta kemudahan infrastruktur yang perlu supaya memberi faedah kepada generasi kedua Felda,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis sempena lawatan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Residensi Larkin Indah di Johor Bahru hari ini.

Hasni juga berkata, pemaju yang tidak dapat melaksanakan projek perumahan rakyat dalam tempoh terdekat diminta menyerahkan semula tapak projek terbabit kepada kerajaan negeri melalui PKPNJ.

Beliau berkata, ini bagi membolehkan perbadanan itu mengenal pasti pihak dan pemaju lain yang boleh meneruskan pembangunan projek perumahan itu dengan segera untuk memenuhi permintaan rakyat.

“Kerajaan negeri bersedia melepaskan pemaju daripada obligasi mereka untuk membina perumahan rakyat… sebanyak 1,960 hektar dikenal pasti sebagai tapak projek perumahan rakyat yang belum dibangunkan yang kita akan beri tumpuan dan cari kaedah,” katanya.

Hasni berkata, pembinaan semula perumahan rakyat boleh dilaksanakan kerana kebanyakan kawasan projek dibangunkan dan dikelilingi kemudahan infrastruktur asas yang baik.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga tidak mempunyai kesukaran untuk mengenal pasti pihak yang boleh membangunkan projek perumahan berharga di antara RM100,000 hingga RM300,000.

“Ini satu pendekatan yang kerajaan negeri akan beri keutamaan selepas mendapat mandat baharu daripada rakyat. Kita akan laksanakan perkara ini dan bukan hanya untuk banyakkan rumah transit, sewa untuk beli dan sewa bagi memenuhi permintaan keluarga baharu malah untuk mereka memiliki rumah yang berkualiti,” katanya. – Bernama, 4 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen