'Biarlah diletakkan dalam satu lipatan yang tidak perlu dibuka lagi', kata Zahid


Ahmad Zahid Hamidi memuji prestasi Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar Johor meskipun tempoh perkhidmatan beliau singkat. – Gambar Facebook, 4 Mac, 2022.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi petunjuk jelas mengenai masa depan Muafakat Nasional (MN) dengan menyatakan kerjasama politik antara parti itu dan PAS “biarlah diletakkan dalam satu lipatan yang tidak perlu dibuka lagi.”

“Bukan kita tidak mahu malah kita yang memulakan. Kalau hidung tak mancung, kenapa pipi mesti tersorong-sorong,” katanya ringkas dalam sidang media ketika meninjau pusat daerah mengundi Kota Kecil Timur di Kota Tinggi, Johor hari ini.

Turut sama dalam tinjauan Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili Muszaidi Makmor dan DUN Johor Lama Norlizah Noh.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man semalam yang menyatakan MN masih belum berkubur dan tidak ada mana-mana parti yang mengisytiharkan pembubarannya.

Katanya, status MN akan dilihat semula selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Belum ada kubur, belum ada batu nisan dan tiada siapa mengisytiharkan Muafakat Nasional ditamatkan. Secara prinsipnya, walaupun dia tak nampak hidup tapi dia tak mati, statusnya sebagaimana ada,” kata Tuan Ibrahim di Muar semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, prestasi Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar Johor amat mengagumkan meskipun tempoh perkhidmatan beliau singkat.

“Dari Mac 2020 hingga DUN dibubarkan, prestasi yang diperlihatkan oleh beliau amat mengagumkan. Dalam tempoh yang paling singkat, beliau dapat memberikan kemajuan yang sepatutnya kepada negeri Johor,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan keseluruhan janji BN di dalam manifesto Ikhtiar BN Johor akan dilaksanakan sepenuhnya.

BN, yang meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN, sebelum ini menyatakan Hasni akan terus menjadi menteri besar sekiranya parti itu mendapat mandat baharu dalam PRN Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian bagi PRN Johor dan undi awal pada 8 Mac ini. – Bernama, 4 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen