KERAJAAN negeri Sabah tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap negeri itu, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.
Menyifatkan tuntutan itu sebagai “sesuatu yang tidak masuk akal” beliau menegaskan Sabah sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.
Justeru, Hajiji menggesa rakyat supaya bertenang dalam isu itu dan menyerahkan kepada pasukan perundangan kerajaan negeri dan persekutuan untuk menanganinya.
“Ia satu tuntutan yang tidak masuk akal. Kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia tidak seharusnya dipertikai,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Pada Rabu lalu, kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara memaklumkan kerajaan Malaysia menolak sepenuhnya award sebanyak AS$14.92 bilion (RM62.6 bilion) yang kononnya perlu dibayar kepada keturunan Sultan Sulu terakhir iaitu Sultan Jamalul Kiram II.
Menurut laporan media, sebuah mahkamah timbang tara Perancis pada Isnin lalu memutuskan Malaysia melanggar perjanjian yang ditandatangani pada 1878 dan diperintah membayar sekurang-kurangnya AS$14.92 bilion kepada keturunan Sulu Sultan yang terakhir itu.
Award itu dikeluarkan oleh penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa pada 28 Februari lalu. Proses timbang tara yang bermula di Sepanyol itu dipindahkan ke Paris yang mana award itu diputuskan. – Bernama, 4 Mac, 2022.
Komen