PAKATAN Harapan (PH) melalui manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berjanji untuk melaksanakan persempadanan semula dan memberi dana kawasan yang sama rata kepada semua Adun jika menang negeri itu.
PH juga berkata ia akan bekerjasama dengan Putrajaya untuk mengagihkan kuasa untuk beberapa perkhidmatan tertentu supaya kerajaan negeri mempunyai lebih peranan dalam sektor kesihatan, pendidikan dan pengangkutan awam.
Barisan Nasional (BN) juga menjanjikan persempadanan semula dan dana kawasan yang sama rata dalam manifestonya.
Sama seperti manifesto BN yang dilancarkan pada 1 Mac lepas, PH juga berjanji untuk menggubal undang-undang antilompat parti di negeri itu dan berusaha ke arah meningkatkan jumlah lintas sempadan antara Johor dan Singapura.
Berbeza dengan BN dan Perikatan Nasional (PN), yang melancarkan manifesto pada Rabu, PH tidak memasukkan pemberian wang tunai untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
PH bagaimanapun berjanji untuk memberikan baucar tuisyen kepada pelajar yang pendidikan mereka telah terganggu akibat pandemik dan penutupan.
BN menjanjikan RM500 kepada setiap graduan daripada isi rumah B40 dan RM1,000 sebagai insentif perkahwinan manakala PN berjanji memberi air percuma kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sepenuhnya mengecualikan bayaran sewa tapak perniagaan milik Pihak Berkuasa Tempatan selama lima tahun.
Selain itu, PH berkata ia akan menghidupkan semula skim Kad Sihat Johor dan melaksanakan program rumah mampu milik buat rakyat Johor.
Pelancaran manifesto itu diadakan di Batu Pahat oleh Pengerusi PH dan Amanah Johor Aminolhuda Hassan, Syed Ibrahim Syed Noh dari PKR dan Liew Chin Tong dari DAP, yang turut mengumumkan tiga teras untuk membina semula ekonomi Johor.
PH memerintah negeri itu selepas memenanginya pada pilihan raya umum lalu tetapi digantikan oleh kerajaan pimpinan Umno berikutan Langkah Sheraton pada Februari 2020.
PRN Johor akan diadakan pada 12 Mac. – 4 Mac, 2022.
Komen