PKR hari ini melancarkan aplikasi Adil yang akan diguna pakai untuk mengemas kini daftar pemilih serta digunakan pada pemilihan parti Mei depan.
Presiden PKR Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis peluncuran aplikasi Adil di ibu pejabat PKR di Kuala Lumpur berkata, pemilihan parti kali ini akan berlangsung secara hibrid iaitu secara fizikal dan digital bagi memberi pilihan kepada ahli parti.
“Pemilihan kali ini perlu bagi memantapkan parti yang kini mempunyai keahlian 1.2 juta untuk menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan datang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR Dr Zaliha Mustafa berkata, ahli PKR yang mendaftar sebelum 31 Januari tahun ini, layak mengundi secara digital walau di mana mereka berada dengan syarat mereka mendaftar di aplikasi Adil sebagai pengundi dalam talian.
Beliau menjelaskan pemilihan secara fizikal akan berlangsung lebih awal sebelum mereka yang mendaftar di aplikasi Adil boleh mengundi dalam talian.
“Sehubungan itu, tidak timbul mana-mana ahli boleh memilih dua kali kerana mereka yang mendaftar untuk memilih secara dalam talian tidak akan disenaraikan sebagai pemilih secara fizikal,” katanya.
Aplikasi itu boleh dimuat turun menerusi Google Play Store. – Bernama, 4 Mac, 2022.
Komen