MUDA menafikan pihaknya menceroboh premis milik PIJ Holdings Sdn Bhd di Larkin, mendakwa ia menyewa premis tersebut dengan bayaran RM4,000 sebulan.
Calon Muda Larkin, Rashid Abu Bakar berkata premis itu disewa dan dijadikan pusat gerakan Muda untuk Pilihan Raya Negeri Johor.
“Kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa Muda telah menceroboh aset Inkubator Usahawan yang dibuat PJ Holdings.
“Muda menyewa premis tersebut bermula dari 26. Februari 2022 sebagai bilik gerakan Muda untuk kempen DUN N44 Larkin daripada tuan kedai dengan bayaran RM4,000 sebulan.
“Surat kebenaran telah dikeluarkan oleh tuan kedai kepada Muda yang mana kami dibenarkan untuk menjadikan premis tersebut sebagai bilik gerakan Muda,” kata Rashid dalam satu kenyataan hari ini.
Sepanjang seminggu Muda beroperasi di situ, mereka tidak menerima sebarang notis atau aduan daripada mana-mana pihak lain yang mengatakan mereka menceroboh, katanya.
Tambah Rasid, dalam tempoh itu juga premis tersebut turut dikunjungi anggota polis, Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Pilihan Raya, dan tiada sebarang isu dibangkitkan.
Semalam, PIJ Holdings, melalui anak syarikatnya PIJ Property Development Sdn Bhd, membuat laporan polis terhadap Muda mendakwa parti itu menceroboh premisnya di Taman Perbadanan Islam di Stulang Baru.
PIJ Holdings, sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri Johor, berkata premis itu dibangunkan supaya usahawan menceburi bidang perniagaan dan bukan sebagai pusat gerakan mana-mana parti politik.
Berdasarkan rekod terkini, premis berkenaan digunakan oleh individu untuk menjalankan perniagaan perabot dan orang itu tidak dibenarkan menyewakannya kepada sesiapa, katanya. – 4 Mac, 2022.
Komen