SKIM Pembiayaan Perumahan Inovatif PR1MA wajar dijadikan penanda aras dalam usaha kerajaan dan industri menyediakan akses kewangan yang mudah kepada pembeli rumah.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata inisiatif yang mesra pembeli itu dapat membuka lebih banyak peluang kepada Keluarga Malaysia khususnya golongan muda dan berpendapatan pertengahan untuk memiliki rumah PR1MA tanpa bimbang mengenai pinjaman.
“Ini antara isu penting yang dibangkitkan dan dibincang semasa mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) baru-baru ini dan Alhamdulillah, kita sudah dapat melihat hasil daripada perbincangan itu.
“Saya yakin dan percaya inisiatif seperti ini membolehkan lebih ramai Keluarga Malaysia memiliki rumah sendiri termasuk mereka yang menghadapi masalah mendapatkan kelulusan pembiayaan dengan jaminan yang dikeluarkan oleh Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP), syarikat milik penuh Kementerian Kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Skim Pembiayaan Perumahan Inovatif PR1MA di Residensi Larkin Indah di Johor Bahru, hari ini.
Ismail Sabri berkata, SJKP diperuntuk sejumlah RM2 bilion untuk membantu memberi jaminan dan memudahkan kumpulan yang tidak mempunyai penyata gaji membuat pinjaman perumahan.
Beliau berkata, usaha itu membuktikan komitmen kerajaan yang ingin melihat Keluarga Malaysia mendapat akses kepada pembiayaan perumahan seperti PR1MA dengan lebih mudah dan luas.
“Saya difahamkan sebagai permulaan, ia ditawarkan kepada pembeli kediaman Residensi Larkin Indah sebelum diperluas kepada projek PR1MA lain.
“Ini pastinya dapat memberi keselesaan kepada pembeli rumah PR1MA pada masa akan datang untuk merancang pembelian rumah mereka dengan lebih yakin,” katanya.
Skim Pembiayaan Perumahan Inovatif PR1MA selari dengan Aspirasi Keluarga Malaysia serta Kempen Pemilikan Rumah ‘Home Ownership Programme’ (HOPE) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Ismail Sabri turut menzahirkan perasaan bangga dengan usaha kerajaan negeri Johor bersama agensi lain seperti PR1MA untuk merealisasikan projek perumahan di seluruh negeri itu dalam menyahut seruan kerajaan membina perumahan yang berdaya huni.
Beliau berkata, ia selari dengan aspirasi memperkasa pemilikan rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40 tanpa menanggung beban kewangan yang berat melalui program perumahan mampu milik.
“Saya juga difahamkan pada Januari lalu, kerajaan negeri Johor mewujudkan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) sebagai agensi utama yang menguruskan perumahan dan hartanah di negeri ini.
“Ini ditambah dengan usaha sedia ada agensi kerajaan lain seperti PR1MA misalnya, dapat menyumbang secara positif ke arah pemilikan rumah yang lestari,” katanya. – Bernama, 4 Mac, 2022.
Komen