Kerajaan setuju laksana MRT3, kata Ismail Sabri


Projek MRT3 sebelum ini ditangguhkan di bawah kerajaan PH sebelum Kabinet di bawah Muhyiddin Yassin bersetuju meneruskan projek itu tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2022.

KABINET hari ini bersetuju melaksanakan projek Laluan Lingkaran Aliran Transit Massa 3 (MRT3) serta menambah baik pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Sarawak dan projek tebatan banjir, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kerajaan akan memberi keutamaan kepada kontraktor tempatan terutama Bumiputera bagi menjana peluang perniagaan dan pekerjaan untuk Keluarga Malaysia, sekali gus memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara.

“Pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi di Semenanjung, Sabah dan Sarawak merangkumi pembinaan rel bersepadu dan lebuh raya serta projek tebatan banjir akan memangkin pembangunan ekonomi serta menyumbang kepada daya saing negara dan kesejahteraan rakyat.

“Keputusan melaksanakan projek itu mencerminkan keprihatinan kerajaan bagi menyediakan pelbagai peluang untuk Keluarga Malaysia dan mengukuhkan momentum pemulihan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusan meluluskan pelaksanaan projek MRT3 dalam mesyuarat Kabinet hari ini bertujuan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang dengan menyediakan perkhidmatan bersepadu, mampu bayar dan lancar untuk Keluarga Malaysia.

Projek MRT3 sebelum ini ditangguhkan di bawah kerajaan Pakatan Harapan sebelum Kabinet di bawah Muhyiddin Yassin bersetuju untuk meneruskan projek itu tahun lalu.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan 19 pakej kerja tambahan LPB Sabah membabitkan jajaran sepanjang 367 kilometer dengan tempoh pembinaan selama lima tahun.

Beliau berkata, fasa pertama LPB Sabah merangkumi 15 pakej, dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober 2024 dan kini mencapai 52% kemajuan manakala fasa pertama LPB Sarawak dengan jajaran 786km pula mencapai 78% kemajuan kerja setakat ini.

“Bagi melengkapi LPB Sarawak, kerajaan turut bersetuju melaksanakan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB),” katanya.

Selain itu, Kabinet juga bersetuju meningkatkan dan menyegerakan projek tebatan banjir dengan tambahan perbelanjaan RM15 bilion untuk tempoh 2023 hingga 2030, mengambil kira fenomena banjir monsun timur laut 2021-2022 yang serius sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

Kerajaan pada masa ini menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM1 bilion setahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). – Bernama, 4 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen