PUTRAJAYA berjaya mendapatkan semula RM19.14 bilion dana berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sehingga 31 Januari tahun ini, kata Kementerian Kewangan.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata dana itu dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (AA MKA).
Beliau berkata, kebanyakan dana yang dikumpul adalah daripada lima sumber utama yang terdiri daripada AS$1.23 bilion atau RM5.17 bilion daripada Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ).
Zafrul berkata, AS$2.5 bilion (RM10.5 bilion) diterima daripada Goldman Sachs sebagai sebahagian daripada jumlah penyelesaian yang dimuktamadkan pada Julai 2020 dan dikreditkan pada September 2020.
Beliau berkata dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Wong Kah Woh (Ipoh Timur-PH) yang bertanyakan jumlah dana berjaya diperoleh hasil daripada tindakan yang diambil terhadap isu 1MDB sejak 2018 dan jumlah kerugian.
Zafrul berkata, sejumlah AS$80 juta (RM336 juta) diterima daripada Deloitte hasil daripada penyelesaian global pada 24 Mei 2021 (dikreditkan pada Jun 2021).
“RM2.315 bilion daripada AmBank hasil daripada penyelesaian global pada 5 Mei 2021 (dikreditkan pada Julai dan Disember 2021); dan AS$80 juta (RM336 juta) daripada KPMG hasil daripada penyelesaian global pada 16 Disember 2021 (dikreditkan pada Januari 2022).
Zafrul juga berkata, 1MDB melantik Parker Randall sebagai juruaudit untuk melaksanakan audit terhadap penyata kewangan syarikat termasuk aset dan liabilitinya.
“Bagaimanapun, laporan penyata kewangan beraudit terkini masih belum dimuktamadkan kerana juruaudit lama, KPMG (2010, 2011 dan 2012) dan Deloitte (2013 dan 2014) menarik balik laporan dan pandangan mereka terhadap penyata kewangan syarikat.
“Oleh itu, jumlah sebenar kerugian 1MDB pada masa ini tidak dapat disahkan.”
Penyelesaian itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mendapatkan semula dana dan aset yang dikaitkan secara langsung atau tidak langsung dengan dana pelaburan. – 4 Mac, 2022.
Komen