THAI AirAsia merupakan antara tiga “syarikat penerbangan tambang rendah paling menepati masa” pada 2021, kata firma analisis data penerbangan dan perjalanan Cirium dalam kajian tahunannya.
Thai AirAsia adalah satu-satunya syarikat penerbangan Thailand yang diberi pengiktirafan itu.
Kajian tahunan itu menyebut 97.47 peratus daripada penerbangan ThaiAirAsia beroperasi mengikut masa pada 2019.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Thailand Santisuk Klongchaiya berkata dalam satu kenyataan bahawa syarikat penerbangan itu amat berbangga dengan pengiktirafan tersebut yang menyerlahkan dedikasi kakitangan dan krew serta prestasi operasi pada masa yang mencabar ini.
Beliau menambah AirAsia telah dua kali menerima penarafan penuh 7/7 daripada airlineratings.com untuk kecemerlangan perkhidmatan, dan yang terbaru pada Februari tahun ini.
“Dua pengiktirafan berturut-turut ini adalah bukti kualiti dan standard bertaraf dunia yang dibanggakan oleh semua orang dalam pasukan dan akan mendorong untuk meningkatkan lagi perkhidmatan kami, supaya kami boleh terus menyampaikan pengalaman yang mengagumkan dan menjimatkan kos yang mana pelanggan kami sentiasa mempercayai kami,” katanya.
Dua lagi pemenang adalah Solaseed Air, syarikat penerbangan domestik Jepun serta ahli gabungan All Nippon Airways (ANA), dan StarFlyer, pengendali syarikat penerbangan domestik Jepun yang juga ahli gabungan ANA.
Santisuk menegaskan bahawa dalam penilaian menyeluruh Cirium, walaupun berdepan halangan yang disebabkan COVID-19, termasuk penggantungan sementara penerbangan bagi menyokong dasar kerajaan dan pengurangan skala perkhidmatan, AirAsia terus bangun dan mengekalkan standard yang tinggi, terutamanya dari segi keselamatan, kebersihan dan prestasi mengikut masa.
Kajian Prestasi Menepati Masa Cirium 2021 adalah berdasarkan analisis data tepat yang dipercayai oleh perniagaan dan pelabur dalam kedua-dua sektor penerbangan dan lapangan terbang untuk meningkatkan prestasi menepati masa dalam industri penerbangan dan pelancongan. – Bernama, 4 Mac, 2022.
Komen