Sri Lanka tingkatkan kadar faedah ketika ekonomi hampir runtuh


Pemilik kenderaan beratur dengan tong kosong untuk membeli bahan api di stesen minyak di Colombo, Sri Lanka susulan langlah kerajaan mengenakan pemotongan elektrik di seluruh pulau hampir 7 jam sehari kerana kekurangan stok bahan api yang mencukupi. – Gambar EPA, 4 Mac, 2022.

BANK Pusat Sri Lanka menaikkan kadar faedah satu mata peratusan pada Jumaat selain menggesa kerajaan meningkatkan cukai ketika negara itu berada di ambang kejatuhan ekonomi.

Negar yang bermasalah itu berada dalam cengkaman krisis pertukaran asing dahsyat yang telah membawa kepada kekurangan bekalan makanan, bahan api, ubat-ubatan dan bahan mentah untuk industri sekali gus menyebabkan inflasi melonjak kepada 16.8 peratus pada Januari.

Pengangkutan awam lumpuh sejak Rabu tanpa diesel untuk bas dan sebahagian besar negara dengan 21 juta orang telah terjejas akibat pemotongan elektrik yang berpanjangan.

Pada Khamis, Presiden Gotabaya Rajapaksa memecat menteri tenaga dan industri selepas mereka berdua mengkritik usaha kerajaan menangani krisis itu.

Bank Pusat Sri Lanka menaikkan kadar deposit dan pinjaman sebanyak 100 mata asas setiap satu kepada 6.5 peratus dan 7.5 peratus. Langkah itu berikutan keputusan pada Januari untuk menaikkan kos pinjaman sebanyak 50 mata asas.

Kenaikan itu “mungkin akan melemahkan peningkatan tekanan permintaan asas terhadap ekonomi, yang seterusnya akan membantu mengurangkan tekanan dalam sektor luar”, kata bank itu dalam satu kenyataan.

Ia juga menggesa kerajaan menaikkan harga bahan api dan tarif elektrik serta-merta serta menaikkan cukai bagi menambah pendapatan kerajaan. Ia berlaku selepas panggilan serupa oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Dalam satu kenyataan susulan kajian tahunan ekonomi Sri Lanka, IMF pada Khamis memberi amaran kepada negara itu hutang luar negaranya “tidak mampan” dan menggesa tindakan segera.

IMF menyatakan rizab asing Sri Lanka yang semakin berkurangan dengan cepat adalah tidak mencukupi untuk membayar hutang asing semasanya sebanyak AS$51 bilion.

Data rasmi menunjukkan Sri Lanka memerlukan hampir AS$7 bilion untuk membayar hutang asingnya tahun ini, tetapi rizab luar negara pada akhir Januari hanya AS$2.07 bilion yang hanya cukup untuk membiayai import sebulan. – AFP, 4 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen