KERAJAAN tidak ada pilihan selain menyerahkan kos RM1.68 bilion kos tarif elektrik kepada pengguna komersial dan industri berikutan perubahan harga bahan api dunia, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan hari ini.
Beliau berkata Tenaga Nasional Bhd (TNB) membayar tambahan bahan api dan kos penjanaan bagi tempoh Julai hingga Disember 2021 dan mereka perlu mendapatkan semula kos tersebut bagi menampung kos operasi bagi tempoh Januari hingga Jun 2022.
“Justeru, kos ini telah dilepaskan kepada pengguna elektrik dalam bentuk surcaj sebanyak 3.70 sen/kWj bagi tempoh Februari 2022 hingga Jun 2022.
“Sekiranya kos yang terlibat tidak dapat dikutip semula daripada pengguna, ia akan menjejaskan aliran tunai TNB serta menjejaskan keupayaan TNB untuk membuat bayaran kepada pembekal- pembekal bahan api gas dan arang batu, pembayaran kepada vendor, pembayaran gaji kakitangan dan sebagainya,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen kepada ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin.
Cha meminta Takiyuddin rasional di sebalik kenaikan caj elektrik untuk pengguna TNB dalam kategori komersial dan perindustrian mulai 1 Februari 2022 kerana negara masih dibayangi oleh wabak itu.
Beliau berkata Covid-19 dan keadaan ekonomi semasa yang tidak memberangsangkan dan dengan peningkatan ini dijangka membebankan peniaga kecil dan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana.
Takiyuddin berkata kerajaan juga membelanjakan sejumlah RM493 juta pada 2021 melalui Tabung Industri Elektrik (KWIE) bagi menampung kos rebat 2 sen/kWj untuk semua pengguna agar tarif dapat dikekalkan ketika itu.
Beliau berkata kos Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) bagi tempoh Julai hingga Disember tahun lepas sebanyak RM1.672 bilion sebahagian besarnya disebabkan oleh kenaikan mendadak harga arang batu di pasaran dunia.
Ahli Parlimen Kota Bahru itu berkata harga mencecah purata USD105.09/tan metrik berbanding unjuran harga arang batu pada 2021 sebanyak USD67.45/tan metrik.
“Peningkatan harga arang batu yang ketara ini telah menyebabkan kos penjanaan berasaskan arang batu meningkat sebanyak 45% bagi tempoh Julai hingga Disember 2021.
“Selain kenaikan harga bahan api, pertukaran mata wang asing bagi tempoh Julai hingga Disember 2021 juga turut meningkat iaitu pada kadar RM4.246 untuk setiap USD1.00 berbanding RM4.212 bagi setiap USD1.00 seperti yang diunjurkan pada tahun 2021 dan ini turut meningkatkan kos penjanaan,” katanya.
Takiyuddin berkata kerajaan sedar surcaj elektrik kepada pengguna komersial dan industri akan meningkatkan kos operasi mereka terutama bagi PKS.
“Oleh itu, saya ingin menyarankan agar pengguna-pengguna dalam kedua-dua kategori ini untuk melanggan Green Electricity Tariff (GET).
“Ia bukan sahaja boleh membantu mengurangkan bil elektrik kerana pelanggan GET akan dikecualikan daripada membayar surcaj untuk tempoh setahun, malah mereka akan turut memiliki Renewable Energy Certificate (REC) yang boleh membantu memenuhi komitmen Environmental, Social and Governance (ESG), dengan izin dan menyokong agenda Tenaga Boleh Baharu negara,” katanya.
Beliau juga menggesa pengguna bukan domestik untuk meneroka potensi tenaga suria melalui pemasangan sistem solar untuk kegunaan mereka sendiri (self-consumption – SelCo) atau menyertai Program Net Energy Metering 3.0 (NEM 3.0). – 4 Mac, 2022.
Komen