Kementerian Luar tamat kontrak Ahmad Idham, Eizlan Yusof


Menteri Luar Saifuddin Abdullah enggan menyebut sebab penamatan kontrak dua selebriti Ahmad Idham Ahmad Nazri dan Eizlan Yusof bagi jawatan diplomasi budaya di kementeriannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2022.

KEMENTERIAN Luar menamatkan kontrak dua pelakon, Ahmad Idham Ahmad Nazri dan Eizlan Yusof bagi jawatan diplomasi budaya di kementerian itu, lapor Sinar Daily.

Edisi bahasa Inggeris Sinar Harian itu memetik kenyataan menteri terbabit, Saifuddin Abdullah yang turut mengesahkan penamatan kontrak setiausaha sulit beliau Fizal Fauzi.

Menurut laporan itu, Saifuddin enggan menyebut sebab penamatan kontrak kedua-dua selebriti berkenaan namun sumber yang dekat dengan kementerian tersebut menyebut kaitan politik.

Sumber tersebut menyebut, dua selebriti itu mengintai kerusi untuk ditandingi dalam pilihan raya umum ke-15 bawah tiket Bersatu, lapor Sinar Daily.

Bagaimanapun, usaha itu ditolak oleh anggota parti kerana kedua-duanya tiada pengaruh dalam politik dan tiada sokongan akar umbi.

Populariti dan pengaruh mereka di kalangan peminat tidak cukup kuat untuk membolehkan mereka bertanding, menurut laporan itu lagi.

Ahmad Idham dilantik menjadi setiausaha kebudayaan pada November lalu untuk mengetuai diplomasi budaya Malaysia dan Eizlan sebagai perunding kreatif di jawatankuasa seni dan budaya.

Jawatankuasa tersebut diumumkan dengan nama singkatan Arca untuk mengendalikan hal ehwal berkaitan diplomasi budaya.

Ahmad Idham sebelum itu meletak jawatan sebagai ketua pengarah eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia.

Beliau dan Eizlan seterusnya meraih kontroversi selepas didapati hadir dalam kempen pilihan raya negeri Melaka dengan memakai lambang parti bersama Saifuddin.

Saifuddin ketika menjawab perkara itu di Dewan Rakyat berkata kedua-duanya bebas untuk menyertai aktiviti politik kerana mereka petugas yang dilantik dan bukannya pegawai tadbir diplomatik. – 4 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen