Malaysia catat angka tertinggi 32,467 kes baharu Covid-19


Sebanyak 32,467 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam yang merupakan angka jangkitan tertinggi sejak wabak bermula pada 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2022.

REKOD tertinggi 32,467 jangkitan Covid-19 dilaporkan semalam, tertinggi sejak wabak itu bermula pada 2020, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Dengan penambahan jangkitan baharu kes aktif kini berjumlah 298,321.

Jumlah kes virus itu sejak 2020 kini berjumlah 3,528,557.

Terdapat juga 86 kematian dilaporkan di mana 28 daripadanya kematian di luar hospital. Ini menunjukkan penurunan daripada hari sebelumnya apabila 115 kematian dilaporkan.

Kadar kematian kini berada pada 0.9% atau 19 kematian bagi setiap sejuta penduduk.

Sejumlah 8,322 orang juga dimasukkan ke hospital untuk Covid-19 dengan kadar penggunaan hospital ketika ini sebanyak 69.5% di mana 66.9% adalah untuk kes koronavirus.

Terdapat 355 orang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dengan 208 orag  memerlukan alat bantuan pernafasan.

Menurut pangkalan data GitHub Selangor melaporkan jumlah jangkitan tertinggi iaitu 8,053 diikuti oleh Kedah (3,242) dan Kuala Lumpur (2,881).

Johor yang bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor melaporkan 1,979 jangkitan baharu.

Johor turut melaporkan kematian tertinggi dengan 20 kematian diikuti oleh Perak (11) dan Kedah (9).

Negeri lain yang melaporkan jangkitan baharu ialah Kelantan (1,739), Melaka (821), Negeri Sembilan (2,045), Pahang (1,912), Perak (1,713), Perlis (273), Pulau Pinang (2,488), Sabah (2,717), Sarawak (1,206), Terengganu (993), Labuan (270) dan Putrajaya (135). – 4 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen