TENAGA Nasional Berhad (TNB) berjaya memulihkan bekalan elektrik di 77 kawasan di Kelantan yang mengalami gangguan akibat banjir.
Pengurus Besar TNB Kelantan Mustapha Kamal Yaacob berkata ketika ini pihaknya sedang giat memulihkan bekalan elektrik di beberapa kawasan lain namun bergantung kepada akses perhubungan dan keadaan setempat.
“Di Tumpat, kawasan yang belum mendapat bekalan elektrik adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru, Pulau Seratus, Teluk Renjuna 2, Pulau Dolah, Pulau Suri 1 dan Pulau Suri 2.
“Di Pasir Mas, kawasan masih terjejas adalah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pengkalan Rakit, JPS Bakat 2, Terusan dan Kebakat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mustapha Kamal turut mengingatkan penduduk supaya tidak menyentuh kabel atau wayar yang jatuh bagi mengelak kejadian buruk.
“Diharapkan penduduk bersabar dan lebih prihatin terhadap perkara ini malah pihak kami amat menghargai kerjasama orang ramai dalam usaha memulihkan bekalan elektrik di kawasan terbabit,” katanya.
Mustapha Kamal berkata, TNB juga sedang memulihkan bekalan elektrik secara sementara melalui generator statik di kawasan kepulauan Tumpat berikutan kerosakan talian atas bekalan 11 kilovolt (kV) akibat dilanggar kapal korek yang hanyut semasa banjir minggu lalu.
Pada 27 Februari lalu, media melaporkan seramai 3,000 penduduk terpaksa bergelap apabila kapal korek yang dibawa arus deras dipercayai merempuh tiang kabel elektrik sehingga tumbang di Kampung Pulau Beluru, Tumpat. – Bernama, 3 Mac, 2022.
Komen