Thailand jangka hadapi gelombang Covid-19 bulan depan


Menurut pakar, jangkitan harian boleh mencecah 100,000 pada pertengahan April di Thailand bergantung kepada langkah berjaga-jaga Covid-19. – Gambar EPA, 3 Mac, 2022.

THAILAND perlu bersiap sedia dalam beberapa minggu lagi kerana pakar mengatakan pandemik Covid-19 dijangka memuncak pada pertengahan April.

Pengarah Biro Komunikasi Risiko dan Pembangunan Tingkah Laku Kesihatan Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Sumanee Watcharasin berkata, angka kes Covid-19 di negara itu dijangka terus meningkat apabila varian Omicron semakin merebak.

“Kes harian Covid-19 dijangka memuncak pada pertengahan April dan beransur turun pada Mei,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di Bangkok, hari ini.

Beliau berkata, jangkitan harian boleh mencecah 100,000 pada pertengahan April bergantung kepada langkah berjaga-jaga Covid-19 yang diterima pakai serta pematuhan orang ramai terhadap pelbagai langkah pencegahan virus.

Dalam 24 jam terakhir, Thailand merekodkan 23,618 kes baharu Covid-19 melalui ujian RT-PCR dan 49 kematian, menjadikan jumlah jangkitan negara itu kepada 2,958,162 kes dan 23,070 kematian.

Tambahnya, dalam tempoh sama, sejumlah 42,138 orang disahkan positif Covid-19 melalui kit ujian antigen. Bagaimanapun, angka itu tidak dimasukkan dalam pengiraan harian. – Bernama, 3 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen