Tony Pua kemuka usul rujuk Najib ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan


Noel Achariam

Ahli Parlimen Damansara Tony Pua berkata permintaan supaya Najib Razak dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dikemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengenai kenyataan bekas perdana menteri itu semalam mengenai hutang 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2022.

AHLI Parlimen Damansara Tony Pua mengemukakan usul supaya Najib Razak dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana cuba mengelirukan Dewan Rakyat.

Beliau berkata permintaan itu dikemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengenai kenyataan bekas perdana menteri itu semalam mengenai hutang dana kekayaan negara 1MDB.

“Saya ingin merujuk Ahli Parlimen Pekan (Najib) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 36 (12) Peraturan Dewan Rakyat.

“Surat mengenai perkara itu telah diserahkan kepada pejabat Speaker,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Tony bertindak balas terhadap ucapan Najib semalam di mana beliau mendakwa tiada satu sen pun dana awam digunakan kerajaan untuk membayar balik hutang prinsipal 1MDB.

“Beliau (Najib) dalam ucapannya semalam telah membuat kenyataan yang mengelirukan Dewan Rakyat dan boleh dilihat sebagai menghina Parlimen.”

Beliau berkata kenyataan Najib itu tidak benar kerana kerajaan telah membayar RM8.8 bilion prinsipal dan faedah.

Awal hari ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata hutang 1MDB masih belum dijelaskan kerana Malaysia masih melangsaikan faedah.

“Tuduhan bahawa kami tidak membayar balik jumlah prinsipal adalah tidak berasas kerana jumlah prinsipal belum matang.

“Sehingga akhir bulan ini, baki komitmen adalah antara RM38.5 bilion dan RM38.8 bilion, dengan RM32.3 bilion prinsipal dan RM6.5 bilion faedah,” katanya.

Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon berkata perkara itu akan diteliti sebelum keputusan dibuat.

“Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat akan mempertimbangkan surat itu dan mengemukakan jawapan yang sewajarnya,” katanya.

Semalam, Najib berkata pembangkang tidak boleh membuat alasan bahawa 1MDB memusnahkan kewangan negara.

“Adalah tidak betul untuk mencadangkan bahawa rakyat perlu membayar hutang 1MDB.

“Rakyat tidak perlu membayar, kita boleh menggunakan RM16.4 bilion daripada Goldman Sachs untuk membayar hutang.

“Dana lain turut diterima dan semua ini terkumpul kepada RM23 bilion. Ini bukan wang rakyat yang boleh digunakan untuk membayar hutang,” katanya.

Najib berkata dana awam tidak diperlukan kerana pelbagai jumlah wang telah diperoleh daripada Goldman Sachs, firma audit KPMG dan Deloitte, Ambank dan Jabatan Kehakiman AS (DOJ). – 3 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen