AGENSI antirasuah menahan seorang pegawai polis yang didakwa menerima suapan RM12,000 sebulan bagi melindungi kegiatan lombong mata wang kripto yang mencuri elektrik di Perak.
Sumber berkata, penahanan pegawai terbabit susulan siasatan ke atas seorang jutawan yang didakwa mengawal sebanyak 500 premis lombong mata wang kripto di seluruh negara.
“(Beliau) disyaki melindungi pusat perlombongan bitcoin di Perak yang mencuri elektrik dengan bayaran RM12,000 sebulan malah dia juga disyaki memiliki sebuah pusat perlombongan bitcoin yang mencuri elektrik.
“Pegawai terbabit telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jenayah 1, Ipoh, Perak pagi tadi bagi permohonan reman selama lima hari sehingga 7 Mac ini bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah,” katanya.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, siasatan mendapati beberapa pusat lombong itu dimiliki pegawai tinggi agensi penguat kuasa dengan operasinya dijalankan oleh ahli sindiket.
“Siasatan masih berjalan dan kita sedang mengenal pasti pihak-pihak yang terlibat namun SPRM tidak menolak bahawa akan ada lagi tangkapan susulan.
“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM turut memperoleh perintah reman empat hari di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur ke atas seorang lagi suspek berusia 33 tahun.
Ia berkaitan kes suapan sehingga RM66,000 kepada pegawai sebuah badan penguatkuasaan sejak 2019 yang didakwa dibuat pemilik syarikat, pemilik kilang dan pemilik restoran.
Suapan tersebut didakwa dibuat supaya pegawai berkenaan tidak bertindak ke atas kesalahan mencuri elektrik di premis mereka dan untuk menyalurkan maklumat operasi penguatkuasaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Sri Azam Baki pada Selasa mengumumkan, 18 individu yang dipercayai ahli sindiket pelombongan mata wang kripto berkaitan kecurian elektrik ditahan.
Mereka didakwa memberi wang suapan sehingga RM300,000 sejak 2018 kepada kakitangan TNB bagi melombong bitcoin dengan melakukan penyambungan bekalan elektrik secara haram.
Kegiatan itu menyebabkan kerugian RM2.3 bilion sejak 2018. – 3 Mac, 2022.
Komen