Ceramah besar-besaran masih dilarang, kata Khairy


Ravin Palanisamy

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengulangi bahawa ceramah secara besar-besaran di kawasan awam masih tidak dibenarkan sepanjang tempoh berkempen. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 3 Mac, 2022.

CERAMAH luar sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya dibenarkan diadakan di perkarangan pejabat dan bilik gerakan parti, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.

Beliau mengulangi bahawa ceramah secara besar-besaran di kawasan awam masih tidak dibenarkan sepanjang tempoh berkempen.

“Ceramah luar secara besar-besaran tidak pernah dibenarkan.

“Apa yang kita benarkan ialah ceramah di bilik gerakan atau pejabat parti yang boleh diadakan sama ada di dalam atau di sekitar premis. Tiada apa yang berubah di sana,” kata Khairy pada sidang media di Hospital Serdang hari ini.

Bagi pejabat dan bilik gerakan parti di lot kedai, Khairy berkata adalah boleh meletakkan kerusi di atas jalan di hadapan kedai asalkan tidak melebihi kapasiti yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Semalam, SPR menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya yang melarang lebih 100 orang menghadiri perhimpunan termasuk penganjur, penceramah, pengendali dan penonton.

Menurut SPR, ceramah hanya boleh diadakan di dalam atau perkarangan premis dengan jumlah kehadiran tidak melebihi 100 orang atau 50% daripada kapasiti sepatutnya.

SOP pilihan raya yang disemak semula itu telah dicadangkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan (KKM), sambil menambah ia berkuat kuasa serta-merta.

SOP baharu itu berkesan menghentikan kebanyakan ceramah PH, kerana berdasarkan acara malam Selasa di Kota Iskandar, terdapat lebih 100 orang yang kebanyakannya terdiri daripada pegawai penguat kuasa, wartawan dan pekerja parti.

Khairy menjelaskan, pengumuman SPR itu dibuat susulan pertemuan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan ketua pembangkang Anwar Ibrahim dan juga wakil daripada parti pembangkang.

Beliau berkata dalam perbincangan itu, ketua pembangkang hanya meminta untuk melanjutkan ceramah sehingga 12 tengah malam dan tidak menghadkan sesi kepada dua jam. – 3 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen