56 calon Perikatan PRN Johor lafaz ikrar tolak rasuah


Semua 56 calon PN yang bertanding pada PRN Johor lafaz ikrar dan menandatangani surat Aku Janji Integriti sebagai bukti parti gabungan itu menolak amalan rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2022.

SEMUA 56 calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini melafazkan ikrar dan menandatangani surat Aku Janji Integriti sebagai bukti parti gabungan itu menolak amalan rasuah.

Pengerusinya, Muhyiddin Yassin berkata langkah ini membuktikan komitmen PN yang tinggi dalam perjuangan membanteras rasuah serta penyelewengan wang sekali gus untuk mewujudkan sebuah pentadbiran kerajaan yang berintegriti.

“Banyak kerosakan berlaku dalam negara apabila integriti tidak menjadi pegangan mereka yang diamanahkan untuk memimpin negara. Jenayah rasuah dan pecah amanah berlaku dalam skala yang besar apabila pemimpin tidak berintegriti dan tidak beramanah,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di Senai.

Muhyiddin berkata PN ingin mendidik masyarakat dan generasi akan datang mengenai pentingnya kepimpinan yang berasaskan nilai-nilai murni kerana ia dapat melahirkan kepimpinan yang berintegriti, cekap dan prihatin rakyat.

“Melahirkan kepimpinan yang berintegriti bermula daripada kita. Sebagai calon wakil rakyat yang akan dipilih rakyat Johor untuk mentadbir negeri ini kelak, anda semua memikul satu amanah yang berat dan tanggungjawab besar untuk memastikan nilai integriti sentiasa dijunjung,” katanya sebagai mengingatkan 56 calon PN itu.

Dalam majlis berkenaan, lafaz ikrar yang berasaskan nilai integriti itu dipimpin oleh bekas menteri besar Johor Dr Sahruddin Jamal, calon bagi DUN Bukit Kepong.

Antara ikrar yang dilafazkan semua calon itu sekiranya terpilih sebagai Adun Johor adalah mereka berjanji akan mematuhi undang-undang sepertimana diperuntukkan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, malah turut berikrar tidak akan melibatkan diri dalam sebarang bentuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Sementara itu pada sidang media, Muhyiddin berkata ikrar dan aku janji yang ditandatangani calon PN menunjukkan isyarat jelas bahawa perkara yang dijanjikan itu bukan sesuatu yang dibuat secara sambil lewa.

“Kita buat sebegitu supaya menunjukkan kepada rakyat Johor kesediaan kita sebagai petanda kesungguhan kita memerangi rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan sebagainya,” katanya.

PN meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN yang dipertandingkan, dengan 33 calon itu daripada Bersatu, PAS (15) dan Gerakan (lapan).

Hari pengundian untuk PRN Johor adalah pada 12 Mac manakala undi awal pada 8 Mac. – Bernama, 3 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen