POLIS menumpaskan tiga kegiatan perlombongan mata wang kripto bitcoin yang beroperasi secara haram di sekitar Bandar Puteri dan Bayu Perdana, dekat Shah Alam yang dianggarkan rampasan bernilai RM65,000.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata kejayaan itu hasil operasi bersepadu bersama Majlis Perbandaran Klang dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang bermula pada 1 Mac hingga semalam.
Beliau berkata menerusi operasi itu, polis membongkar kegiatan tiga premis yang dijadikan sebagai lokasi melombong bitcoin, dan melakukan tangkapan ke atas 12 suspek berusia antara 18 dan 45 tahun.
“Dalam operasi tersebut kita juga berjaya merampas 155 unit mesin bitcoin, 37 unit ‘power supply’, tiga unit monitor, tiga komputer, penghala dan modem.
“Semakan rekod jenayah tujuh daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau, di mana seorang daripada mereka mempunyai empat rekod jenayah di bawah Seksyen 420, 295, 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Klang Selatan, Klang, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan siasatan setiap premis di tingkat atas pusat komersial itu disewa pada kadar antara RM800 dan RM1,500 sebulan.
“Mereka kemudiannya mengubahsuai dalam memasang mesin bitcoin dan kelengkapan komputer bagi aktiviti perlombongan mata wang kripto Bitcoin.
“Dalam semua kes berkenaan didapati TNB mengesahkan mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM60,000,” katanya.
Mengulas mengenai sama ada penyambungan boleh dikesan awal oleh pembaca meter, Cha mengesahkan perkara itu, namun siasatan lanjut masih dilakukan sama wujud unsur subahat antara pembaca meter dan kumpulan suspek.
“Polis juga mengalu-alukan kerjasama orang awam menyalurkan maklumat mengenai kegiatan itu dan boleh menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33719999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Kesemua kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 427 kanun sama,” katanya. – Bernama, 3 Mac, 2022.
Komen