Ahli Parlimen pembangkang mohon rujuk Najib ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan


Najib Razak ketika membahaskan Titah Diraja semalam mengelirukan Dewan Rakyat dalam beberapa perkara berkaitan isu hutang 1MDB, pengambilalihan IPP dan nilai aset Bandar Malaysia, kata Tony Pua. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2022.

SEORANG ahli Parlimen pembangkang hari ini mengemukakan usul agar Najib Razak (BN-Pekan) dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Tony Pua (PH-Damansara) ketika mengemukakan usul itu di Dewan Rakyat berkata ia dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Bahawa Dewan ini merujuk ahli Parlimen Pekan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan mengikut Perkara 36(12) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat atas sebab ucapan beliau dalam Dewan Rakyat pada 2 Mac 2022 mengandungi kenyataan-kenyataan yang mengelirukan Dewan dan boleh disifat sebagai menghina Majlis,” katanya.

Peraturan Mesyuarat 36 (12) menyatakan mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan adalah disifatkan menghina Majlis dan ahli itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu.

Pua berkata usul itu dibuat susulan ucapan Najib ketika membahaskan Titah Diraja semalam telah mengelirukan Dewan dalam beberapa perkara yang dibangkitkan berkaitan isu hutang 1MDB, pengambilalihan pengeluar tenaga bebas (IPP) dan nilai aset Bandar Malaysia.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon yang mempengerusikan mesyuarat ketika itu berkata: “Pejabat yang Dipertua menimbangkan surat itu, pejabat akan buat jawapan sewajarnya.” – Bernama, 3 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen