
BANK bebas untuk menutup akaun pelanggan kerana tiada keperluan undang-undang yang menyelia perkara itu, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di Parlimen hari ini.
Beliau berkata ia adalah panggilan perniagaan oleh bank atau institusi kewangan berdasarkan penilaian risiko dalaman mereka.
“Langkah penutupan akaun hanya diambil selepas penilaian menyeluruh dibuat dan selepas memberi notis dalam tempoh munasabah kepada pelanggan,” katanya dalam jawapan Parlimen hari ini.
Tengku Zafrul menjawab soalan Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling - BN) sama ada bank mempunyai kuasa untuk menutup akaun pengguna serta-merta hanya berdasarkan fakta bahawa terdapat transaksi yang mencurigakan.
Ahli Parlimen Umno itu juga bertanya sama ada bank boleh menutup akaun tersebut tanpa menjalankan sebarang siasatan dan langkah yang perlu diambil oleh bank sebelum memutuskan untuk menutup mana-mana akaun tertentu.
Baru-baru ini, sembilan individu dan tiga syarikat memfailkan saman terhadap CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd selepas akaun bank semasa dan simpanan mereka dibekukan Januari lalu atas dakwaan terdapat hasil daripada aktiviti haram atau mencurigakan.
Tengku Zafrul berkata sebarang tindakan yang diambil adalah tertakluk kepada terma dan syarat yang dipersetujui semasa pembukaan akaun.
Berdasarkan itu, Tengku Zafrul berkata bank boleh mengenakan sekatan ke atas mana-mana pelanggan atau akaun bank yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan akaun atau aktiviti jenayah.
“Sekiranya urus niaga sesuatu akaun mencurigakan, bank boleh mengenakan sekatan sementara ke atas akaun untuk membolehkan penilaian menyeluruh dijalankan, sambil memastikan wang daripada aktiviti penipuan, atau aktiviti jenayah lain tidak dikeluarkan daripada akaun.”
Beliau berkata antara bentuk sekatan yang boleh dikenakan bank adalah seperti menyekat kemudahan perbankan internet, kad debit atau mesin juruwang automatik (ATM), serta menutup akaun selepas bank berpuas hati dengan hasil penilaian mereka.
“Selepas melaksanakan langkah sedemikian dan menilai tahap risiko yang sesuai, bank mungkin tertakluk kepada perintah sekatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, kemudian boleh memutuskan sama ada untuk meneruskan transaksi atau urusan perniagaan dengan pemegang akaun atau, berdasarkan faktor tertentu, memutuskan untuk tidak meneruskan transaksi atau menutup akaun pelanggan,” katanya. – 3 Mac, 2022.
Komen