Penduduk mahu bakal Adun Larkin selesaikan masalah banjir kilat


Calon PN DUN Larkin pada PRN Johor Zulkifli Bujang membantu kariah Surau Ar-Rahman di Larkin Jaya membersihkan kawasan projek tanaman Agro-Tiong yang rosak selepas banjir semalam. – Gambar Facebook, 3 Mac, 2022.

PENDUDUK di Jalan Tiong, Larkin Jaya mahu Adun Larkin yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini, segera “turun padang” dan menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering melanda kawasan perumahan mereka.

Menurut penduduk, sejak 2019 sebanyak 25 kejadian banjir kilat berlaku di kawasan itu didakwa berpunca daripada projek pembinaan landasan kereta api berkembar berdekatan yang mula dibina pada 2018.

Setiausaha Surau Ar-Rahman Larkin Jaya Shahrom Othman berkata penduduk setempat bimbang setiap kali berlakunya hujan lebat.

“Kami di surau beri peringatan kepada penduduk, di mana sahaja kamu berada, kena bersiap sedia untuk balik kemas surau dan rumah bila berlaku hujan lebat.

“Kepada pemimpin kami nanti, tunaikanlah janji dan tengoklah kami di sini. Kami bukan nak bantuan duit, tapi bantulah selesaikan masalah rakyat,” katanya.

Beliau berkata projek tanaman dan ternakan “Agro-Tiong” yang diusahakan ahli kariah surau dan penduduk di sini turut terjejas setiap kali berlakunya banjir.

“Kami tubuhkan Agro-Tiong untuk bangunkan kawasan sekeliling. Tanaman cili, sawi, kacang panjang dan ada juga ternakan ikan dan udang diusahakan oleh penduduk kampung,

“Setiap kali terjadinya banjir, nilai kerugian dianggarkan tidak kurang RM10,000 dan jemaah serta penduduk terpaksa keluar duit sendiri untuk baik pulih,” katanya.

Calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Larkin pada PRN Johor ini, Zulkifli Bujang mahu pemaju projek landasan berkembar itu bertindak segera menyelesaikan masalah banjir kilat yang dihadapi penduduk.

Dalam kejadian terbaru banjir kilat yang melanda kawasan itu semalam, antara mangsa yang terjejas adalah seorang orang kurang upaya yang menetap di surau.

“Dimaklumkan air naik hingga ke paras lutut dan air masuk ke rumah beliau, jadi kami datang untuk bantu kemaskan,” kata Zulkifli yang turut bersama ahli jawatankuasa Surau Ar-Rahman meredah air banjir itu bagi meninjau kerosakan pada projek Agro-Tiong tersebut.

Zulkifli bakal berdepan pertandingan enam penjuru menentang Mohd Hairi Mad Shah (Barisan Nasional), Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Pejuang), Dr Zamil Najwah Arbain (PKR), Rasid Abu Bakar (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) dan NorRamadan Buan (Bebas).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac depan sebagai hari pengundian PRN Johor manakala undi awal pada 8 Mac. – Bernama, 3 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen