MALAYSIA kehilangan satu lagi ikon nasional selepas penjualan hampir separuh saham Proton kepada syarikat China, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, selepas dijual kepada syarikat asing, Proton tidak lagi boleh digelar sebagai pembuat kereta nasional.
“Ini adalah kereta nasional kita, apabila kita jual kepada syarikat asing, ia bukanlah lagi kereta nasional, tetapi kereta asing,” kata Dr Mahathir semasa berucap di Program Jelajah Semarak di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru di Kuala Lumpur malam tadi.
Dr Mahathir berkata, walaupun Proton sebelum ini dikritik kerana masalah dengan tingkapnya, ia kini sudah diselesaikan.
“Tiada negara membangun dalam dunia ini yang ada kereta nasional sendiri,” kata bekas penasihat Proton itu.
Ketika ditanya pemberita selepas ceramah tentang apakah perasaannya separuh saham Proton bakal dijual kepada syarikat China: “Kerajaan ini teruk, wang dibelanjakan dengan salah.”
Reuters melaporkan hari ini hampir separuh saham syarikat Proton akan dijual kepada pembuat kereta Zhejiang Geely dari China, menurut kenyataan syarikat pemiliknya.
Menteri Kewangan II Johari Abdul Ghani dikatakan akan mengumumkan penjualan 49.9% saham konglomerat DRB-Hicom, pemilik Proton.
Menurut Reuters, yang melihat kenyataan tersebut, ia tidak menyatakan nilai jualan tersebut dalam rangka memulihkan syarikat kenderaan nasional itu.
Geely itu syarikat induk Geely Automobile Holdings di Hong Kong dan kumpulan Volvo dari Sweden. Proton pula memiliki Lotus, syarikat automotif Britain.
Syarikat lain yang menyatakan minat membeli Proton termasuk pembuat Peugeot, Suzuki Motor Corp dari Jepun dan Renault SA dari Perancis.
Proton mengalami kerugian walaupun menerima lebih RM13 bilion sunsidi daripada kerajaan sejak 1983. Tahun lepas kerajaan memberikan RM1.5 bilion kepada Proton. – 25 Mei, 2017.
Komen