Kebanyakan kes kematian Covid libat warga emas, individu tidak vaksin


Kebanyakan kematian Covid-19 sejak 5 Februari membabitkan individu tidak vaksin dan warga emas berusia 60 tahun ke atas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2022.

KES kematian Covid-19 mulai meningkat sejak 5 Februari, dengan kes daripada 11 pesakit pada tarikh itu, kepada 53 pada 23 Februari, menurut data laman web CovidNow.

Sepanjang tempoh itu, kebanyakan kematian membabitkan individu tidak vaksin dan warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Purata tujuh hari bagi individu tidak vaksin menunjukkan 5.1 kematian pada 5 Februari dan meningkat kepada 9.1 pada 23 Februari bagi kumpulan ini.

Sementara itu, terdapat tujuh kematian warga emas pada 5 Februari, dan angkanya meningkat kepada 32 pada 23 Februari.

Angka kematian harian dilaporkan semalam iaitu 115 kes, tetapi jumlah itu termasuk kes tertunggak.

Graf CovidNow berkenaan kematian mengikut tarikh, peningkatan kes pada masa ini bermula 5 Februari, dan kemuncaknya 23 Februari dengan 53 kematian.

Pada 6 Februari, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan Malaysia sedang berdepan gelombang Omicron.

Dari 24 Februari, terdapat 52 kematian, menurun kepada 43 kematian keesokan harinya.

Pada 26 dan 27 Februari, terdapat 53 dan 51 kematian, dan angka itu menurun kepada 35 kes pada 28 Februari dan 13 kes pada 1 Mac.

Angka ini mungkin berubah apabila data tertunggak kes kematian dimasukkan.

Kes tertunggak mungkin diumumkan lebih lewat daripada tarikh kematian kerana siasatan perubatan diperlukan bagi menentukan punca kematian adalah Covid-19.

Seiring dengan kenaikan kematian mengikut tarikh, purata tujuh hari kematian juga meningkat, daripada 10 pada 5 Februari kepada 48 pada 23 Februari.

Purata tujuh hari kematian dalam kalangan individu menerima dua dos vaksin ialah 0.7 dan 0.2 bagi individu lengkap dos penggalak, setakat 23 Februari.

Bermula 24 Februari, data purata tujuh hari kematian belum diperolehi. – 3 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen