TADIKA sedang mempertimbangkan untuk beralih kepada pembelajaran atas talian susulan penularan varian Omicron Covid-19 di negara ini, kata pengendali.
Mereka berkata risiko semakin tinggi kerana virus itu turut menular dalam kalangan kanak-kanak, dan mereka yang di bawah lima tahun masih belum menerima vaksin.
Sama ada kelas akan berlangsung secara atas talian sepenuhnya atau tidak, ia akan diputuskan menerusi perbincangan dengan ibu bapa apabila sesi baharu persekolahan bermula, kata mereka.
Pengerusi Persatuan Guru Tadika Kedah dan Perlis Woon Pek Poon berkata pengendali tadika mengikut rapat perkembangan terkini wabak itu.
“Kami akan menyediakan kaji selidik Google Sheet untuk meminta pendapat ibu bapa sama ada mereka akan hantar anak ke sekolah atau lebih memilih kelas atas talian,” kata Woon kepada The Malaysian Insight.
Pengendali lain turut mempertimbangkan perkara serupa kerana mereka bimbang epidemik ini akan menjejaskan kanak-kanak.
“Hampir semua kes positif pada masa ini bergejala, jadi semua orang risau.
“Walaupun kanak-kanak atas umur lima tahun sedang divaksin sekarang, ibu bapa masih bimbang dengan kesan sampingan vaksin. Bagi kanak-kanak lebih kecil, mereka tidak boleh ambil vaksin walaupun jika mereka mahu.”
Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 untuk Kanak-kanak (PICKids) bermula 3 Februari dan memberi vaksinasi kepada kumpulan umur lima hingga 11 tahun.
Setakat 28 Februari, seramai 879,264 kanak-kanak dalam kumpulan umur lima hingga 11 tahun menerima dos pertama vaksin Covid-19.
Walaupun kelas atas talian sangat berbeza daripada kelas fizikal, mereka mungkin terpaksa memilih berbuat demikian sebagai ikhtiar terakhir, kata Woon.
“Guru tidak ada masa mencukupi untuk menjalankan kelas atas talian tetapi kerana keadaan epidemik semakin meruncing dan demi keselamatan kanak-kanak, kami akan mempertimbangkannya.”
Penggal baharu persekolahan 2022 akan bermula pada 21 Mac. Tadika bagaimanapun mungkin tidak mengambil cuti sekolah tiga minggu, tetapi ia akan memendekkan tempoh cuti bagi membantu peralihan kanak-kanak enam tahun memasuki sekolah rendah. – 4 Mac, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen