Kerja '3D' hanya pilihan golongan tiada kemahiran


Asila Jalil

Seorang pekerja memasang jaring keselamatan di PPR Sri Pantai, Kuala Lumpur. Kebanyakan kerja '3D' menjadi pilihan golongan yang tidak mempunyai kemahiran atau kelulusan pendidikan yang tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2018.

SHAMSUDIN Mohamad yang bekerja sebagai petugas letak kereta dan pengawal keselamatan percaya ramai rakyat Malaysia sanggup melakukan kerja kasar dengan gaji yang rendah jika tidak disebabkan kekurangan peluang dan kecenderungan pihak majikan memilih pekerja asing.

“Saya sudah melakukan banyak kerja sebelum ini. Saya tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi jadi saya rebut sahaja sebarang peluang pekerjaan yang ada, walaupun sebagai pembersih jalan. Saya tidak boleh menampung hidup jika tidak bekerja,” katanya kepada The Malaysian Insight, sambil memberi tiket letak kereta kepada kenderaan yang masuk ke tempat parkir.

Lelaki berusia 50 tahun itu merupakan seorang daripada rakyat Malaysia yang ramai berbanding bilangan pekerja asing dalam bidang pekerja yang dikenali sebagai 3D iaitu “kotor, bahaya dan sukar” dalam sektor pembuatan dan pembinaan, menurut data Jabatan Statistik.

Laporan Bancian Ekonomi 2016 mengenai Statistik Pekerjaan dan Gaji & Upah mendapati 1.571 juta rakyat Malaysia dalam sektor pembuatan dan lebih setengah juta terdiri bukan warganegara. Sektor pembuatan mempunyai kadar tertinggi pekerja asing berbanding sektor lain.

Dalam sektor pembinaan, terdapat 828,000 pekerja rakyat Malaysia dan kira-kira separuh daripadanya 463,000 adalah warga asing.

Pekerja Malaysia adalah yang tertinggi dalam sektor perkhidmatan dengan 4.635 juta orang, sementara data yang ada menunjukkan 249,000 warga asing dalam sektor pertanian.

Shamsudin, yang bekerja di tempat letak kereta yang berlainan di sekitar Kuala Lumpur sejak enam tahun lalu, memperoleh RM2,000 sebulan bagi 14 shif setiap hari, dari jam 7 pagi hingga 9 malam.

Jumlah itu mampu menampung tiga kali belanja makannya dan pengangkutan di sekitar bandar. Belum berkahwin dan tinggal bersendirian di gudang kayu yang dibina di tempat letak kereta oleh pemilik tanah, Shamsudin menganggap dirinya bertuah kerana mempunyai penginapan yang disediakan di tengah-tengah bandaraya.

Menyatakan rasa terkejut apabila diberitahu yang sesetengah graduan memperoleh pendapatan bulanan sama seperti diperolehinya, dia berkata terlalu sangat sedikit peluang pekerjaan berkemahiran rendah diberikan kepada penduduk tempatan.

“Saya lihat ramai pekerja asing masih menguasai pekerjaan berkemahiran rendah jadi penduduk tempatan tidak mempunyai peluang.

“Pekerja asing dibayar kurang tetapi jumlahnya besar bagi mereka. Seorang kawan memberitahu apabila dia pulang ke negaranya, dia menjadi raja kerana mendapat pendapatan lumayan di negara kita,” kata Shamsudin.

Pilihan terhad

Seperti Shamsudin, sebahagian besar tenaga kerja Malaysia tidak mempunyai pendidikan tinggi.

Sebahagian besar tenaga buruh Malaysia hanya mempunyai pendidikan asas, dengan Tingkatan Lima atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf dengannya yang terdiri daripada 3.727 juta pekerja atau 42.7% pada 2015, kata Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan.

Ini adalah peningkatan daripada 2.924 juta pekerja (42.1%) dengan SPM atau kelayakan yang setara pada 2010.

Sebaliknya, hanya 1/3 daripada mereka yang bekerja adalah dalam kategori profesional atau mahir, manakala sekitar 60% tenaga buruh berada dalam pekerjaan separa mahir dan sekitar 12% hingga 13% adalah dalam pekerjaan berkemahiran rendah, sebagaimana dilaporkan Jabatan Statistik.

Pengangguran sehingga November tahun lepas berada pada 3.3%.

Seorang lagi pengawal keselamatan di Subang Jaya, yang hanya mahu dikenali sebagai Amy, 31, adalah seorang daripada jutaa dalam pekerja dalam kategori pendidikan asas.

Dengan berbekalkan sijil SPM, dia hanya bekerja dalam bidang berkemahiran rendah selepas meninggalkan bangku sekolah.

“Saya pernah bekerja di sebuah kilang di Johor. Dan kemudian bekerja di Singapura semasa masih tinggal di Johor jadi saya terpaksa pergi balik.

“Saya mengalami kemalangan satu hari ketika dalam perjalanan mengambil gaji di Singapura,” katanya.

Beberapa pekerja asing sedang berehat di Kuala Lumpur. Mereka termasuk daripada 463,000 warga asing yang bekerja di dalam sektor perkhidmatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2018.

Anak jati Kelantan itu berkata tidak dapat mencari kerja di negeri asalnya dan kecederaan fizikalnya juga membatasi pilihannya, jadi dia menerima tawaran bekerja sebagai pengawal keselamatan daripada seorang kawan.

Dia mendapat RM1,500 sebulan dan mengakui ia tidak mencukupi tetapi sekurang-kurangnya ia membantu kerana dia tidak begitu banyak berbelanja dan melepak bersama rakan-rakan.

“Terdapat pekerjaan untuk penduduk tempatan jika mereka sanggup mencarinya tetapi ada yang malas dan pemilih.”

“Saya bawa seorang kawan untuk bekerja sebagai pengawal keselamatam tetapi dia berhenti selepas dua hari kerana malu. Mengapa anda perlu berasa malu? Kerjanya halal,” kata Amy, sambil berharap dapat membuat simpanan mencukupi untuk kembali ke Kelantan.

Pekerja kontrak, Mohd Fadil berkata rakyat Malaysia tidak sepatutnya bersikap memilih kerana terdapat persaingan antara pekerja tempatan dan asing bagi kerja kasar.

“Mungkin sesetengah syarikat lebih suka mengambil pekerja asing kerana mereka boleh membayar kurang berbanding rakyat Malaysia. Itulah sebabnya rakyat Malaysia tidak sepatutnya memilih,” kata lelaki lelaki berusia 25 tahun yang bekerja menukar papan iklan pada waktu malam.

Pemegang SPM itu berpindah ke Kuala Lumpur dari Perak selepas Tingkatan Lima. Kerja malamnya tidak menentu dan dibayar RM100 hingga RM150 setiap malam, dengan syarat ada kerja, jadi dia turut membawa lori pada sebelah siang agar membolehkannya mendapat pendapatan sekitar RM2,500 sebulan.

“Saya menghantar sebahagian besar pendapatan saya kepada ibu ayah dan selebihnya digunakan untuk membayar bil dan keperluan asas yang lain,” katanya ketika ditemui di tempat kerja di luar bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di mana dia ditugaskan menukar papan tanda pada laluan pejalan kaki.

Ehsan, tukang cuci dengan syarikat pengurusan sisa Alam Flora, berkata dia tidak mempunyai banyak pilihan selain membersihkan pejalan kaki dari jam 10.30 malam hingga 5.30 pagi, lima malam seminggu, dan memandu Grab pada sebelah siang untuk memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan.

Lelaki berusia 33 tahun itu, yang hanya akan memberi nama pertamanya, mengatakan dua pekerjaan dilakukannya itu lebih banyak berbanding ketika dia berniaga di gerai sebelum ini.

“Saya mempunyai lima orang ahli keluarga. Apa yang saya dapat, tidak mencukupi. Itulah sebabnya saya memandu Grab pada waktu siang.”

Upah pekerja asing lebih murah

Sementara pekerja sepertinya dan Fadil terpaksa membuat dua kerja dalam satu masa atau kerja kontrak untuk memperoleh pendapat mencukupi, rakyat Malaysia seperti mereka dianggap mahal untuk diambil sebagai pekerja jika dilihat daripada perspektif majikan.

Tinjauan Institut Informasi Pasaran Buruh dan Analisis (ILMIA) mengenai kos buruh negara pada 2016 mendapati jumlah kos mengupah warga Malaysia adalah 38% lebih mahal berbanding pekerja asing.

Ini adalah pekerja dalam kategori mempunyai pendidikan asas (pengendali loji dan mesin, pemasang) yang membentuk 45% daripada semua pekerja asing di Malaysia sehingga Jun 2016.

Bagaimanapun, menurut Shamsuddin ia tidak termasuk kos purata levi sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja asing, yang ditanggung oleh pekerja. Bermula tahun ini, majikan perlu menanggung kos levi pekerja asing.

MEF berkata ini boleh merangsang peluang pekerjaan lebih baik pada 2018 untuk rakyat Malaysia dengan kelayakan peringkat SPM, memandangkan kos pengambilan pekerja asing dijangka meningkat. – 10 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen