PAKATAN Harapan (PH) akan mengumumkan calon menteri besar gabungan itu hanya selepas mereka memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata pengerusinya Anwar Ibrahim.
Presiden PKR berkata gabungan pembangkang itu juga sedang meneliti manifesto untuk PRN tersebut.
“Mesyuarat awal dah ada (berkenaan calon menteri besar) mesyuarat PH dalam berapa hari, belum tetap, (Setiausaha Agung PKR) Saifuddin (Nasution Ismail) positif Covid-19, baru baik…kena menang dulu (PRN).
“(Pengumuman manifesto) saya baru nak bincang malam ini dengan jawatankuasa,” kata Anwar kepada pemberita ketika ditemui di Segamat, hari ini.
Hari ini ahli Parlimen Port Dickson itu turun membantu kempen calon PH di kawasan utara Johor bagi calon DUN Buloh Kasap, Pemanis, dan Gambir.
Anwar berkata, terdapat perubahan dalam penerimaan rakyat terhadap PH apabila menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk.
Beliau memulakan kempen dengan ceramah kelompok di Felda Palong Timur 2 yang terletak di dalam DUN Buloh Kasap.
“Sekurang-kurangnya boleh tembusi, di Buloh Kasap saya tengok boleh masuk dan disambut masyarakat. Itu saya tengok perubahan meyakinkan,” kata Anwar.
PKR mempertaruhkan calon mereka Subramani Chami di DUN Buloh Kasap, Yoong Thau bagi DUN Pemanis, dan Naim Jusri di DUN Gambir.
Esok Anwar dijadualkan berada di zon timur dan zon tengah dalam jelajah kempennya di Johor.
Beliau turut dijangka melakukan jelajah ke beberapa kawasan peneroka Felda.
Antara kawasan Felda tersebut termasuklah Felda Adela di dalam kawasan DUN Tanjung Surat dan Felda Sungai Sayong di DUN Pasir Raja, serta Felda Nitar 2 yang terletak di dalam DUN Tenggaroh.
PKR mempertaruhkan 20 calon mereka dalam PRN Johor yang dijadual berlangsung 12 Mac depan. – 2 Mac, 2022.
Komen